1 Mei – Selamat Hari Pekerja Sedunia, Selamat Ulang Tahun Kelahiranku ke-33

Pertama sekali Kawe ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja Sedunia kepada seluruh warga pekerja di Malaysia dan dunia.

Tetapi, apakah yang istimewa tentang 1 Mei ini? Sebagai pekerja Kerajaan mahupun swasta, kita sedia maklum bahawa 1 Mei telah diisytiharkan sebagai Hari Pekerja dan digazetkan sebagai Hari Cuti Umum bukan sahaja di Malaysia malah disambut juga hamipr keseluruhan negara di dunia.

Menyorot kembali sejarah silam, idea sambutan Hari Pekerja telah dimulakan di Australia pada tahun 1856. Kempen dicetuskan oleh golongan Proletariat yang mendesak pihak majikan mereka untu mendapatkan waktu bekerja 8 jam sehari. Pada asalnya mereka memilih tarik 21 April 1856 dengan mengadakan demonstrasi pada hari tersebut. Setelah demonstrasi yang pertama tersebut berjaya memberi kesedaran positif kepada golongan itu sehingga tercetusnya pemberontakan yang baru menyebabkan keputusan diambil untuk meraikan perayaan itu setiap tahun.  Idea perayaan Hari Pekerja ini diterima di seluruh Australia dengan cepat, malah mula tersebar ke negara-negara lain di seluruh dunia. Kejayaan pekerja Australia mencapai matlamat bekerja lapan jam sehari telah mendorong pekerja di negara lain menuntut hak yang sama. Pada tahun 1886, para pekerja di US mengambil keputusan bahawa seita 1 Mei patut menjadi hari pemberhentian bekerja antarabangsa. Pada hari tersebut lebih 200,000 orang pekerja meninggalkan tempat kerja dan menuntut masa bekerja lapan jam sehari.

Sambutan 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia bermula 36 tahun dahulu iaitu pada tahun 1972. Perisytiharan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan Hari Cuti Umum di Malaysia telah dilaksanakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Allahyarham Tun Dr. Ismail pada majlis perasmian Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972. Perisytiharan ini juga adalah hasil usaha gigih para proletariat negara pada masa lalu yang didorong oleh semangat perjuangan untuk mkendapatkan waktu bekrja yang adil dan menentang sebarang bentuk penindasan dan tekanan oleh pihak majikan.

Di dalam konteks sambutan masa kini, Kawe rasa ideanya tidak berubah, walauoun kita jarang ke medan demonstrasi untuk menyatakan ketidakpuasan dan menuntut hak kita sebagai pekerja. Sambutan Hari Pekerja pada dekad ini bukan hanya sekadar penghargaan buat kita di atas segala perih jerih dan penat lelah yang kita sumbangkan demi kemajuan organisasi kita. Bagi Kawe, Kerajaan dan majikan perlu sensiitif dan menimbang segala tuntutan pekerja dari semasa ke semasa. Kerajaan mahupun majikan seharusnya prihatin di dalam aspek layanan, pemberian gaji, bonus & insentif lain, kemudahan yang setimpal dengan khidmat yang diberikan dan aspek kebajikan pekerja.

Kita pula sebagai pekerja perlu sentiasa melakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam melunaskan setiap tanggungjawab yang diamanahkan. Kita perlu menjadi seorang pekerja yang produktif. Dalam usaha untuk terus kekal bersaing dan relevan setiap masa, perubahan tidak dapat dielakkan. Hari ini kita lihat bagaimana kepakaran dan kekuatan individu itu sendiri di dalam bidang pekerjaan yang dipilih adalah amat dituntut demi survival individu itu sendiri dalam menempuh cabaran globalisasi ini. Sebagai persediaan menghadapi cabaran globalisasi, seorang pekerja perlu menganalisis kekuatan dan kelemahan yang ada. Kita perlu melakukan benchmarking terhadap pencapaian kita berdasarkan prestasi yang lepas.

Istimewanya 1 Mei ini, ia juga merupakan Hari Ulang Tahun Kelahiran Kawe. Pada tahun ini umur Kawe telah berganjak setahun lagi. Pada usia 33 tahun kini, Kawe rasa masih banyak lagi impian Kawe yang belum tercapai termasuklah hal berkaitan jodoh. Heheh. Apa yang Kawe doakan adalah semoga Kawe sentiasa dirahmati, sentiasaa sihat, dipermudahkan rezeki dan panjang umur. Kawe juga ingin mengucap terima kasih kepada kedua anak buah Kawe (Nasrul & Mustakim), Wira dan Tasnim di atas ‘surprise celebration’ sejurus selepas tengah malam tadi. Terima kasih kerana mengingati. Kek tu memang sedap dan hadiah-hadiahnya sangat sesuai dengan Kawe. Kawe sangat menghargainya. Untuk semua rakan-rakan yang telah memberi ucapan selamat kepada Kawe, terima kasih juga diucapkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Published in: on Mei 1, 2008 at 1:12 pm  Comments (15)  

Blog Sepi

Heheheh.. Benar kata teman-teman Kawe! Blog Kawe ni boleh dikategorikan sebagai blog sepi. Bukan sebab tak ada pengunjung. Pengunjungnya tetap ada, walaupun tak seramai dulu. Dulu secara purata ada lah dalam 30 – 60 orang dalam sehari datang bertandang menyinggah di blog Kawe ni. Tapi sekarang ni adalah dalam 5 hingga 20 orang sehari. Kesiankan! Kalau diibaratkan rumah, kalau dulu rumahnya gamat, tapi sekrang bertukar sunyi. Kawe sepatutnya mengekalkan kegamatan itu. Tak apa, Kawe tahu kenapa sunyi sepi saja kat blog ni. Dah lama rupanya Kawe tak masukkan cerita atau entri baru di sini. Orang kata Kawe menghilangkan diri, menyepikan diri! Benarkah? Taklah. Kawe ada, masih wujud. Cuma tak menulis di sini saja. Seperti biasalah, Kawe akan guna alasan yang sama seperti dulu-dulu juga. Kononnya, tidak berkesempatan menulis dek dihambat tanggungjawab dan perencanaan lain yang Kawe kira lebih tinggi duduknya di dalam carta kepentingan Kawe. Ialah, apa nak buat. Kan orang selalu cakap “put first thing first”.

Alhamdulillah, buat saat dan ketika ini Kawe rasa terpanggil untuk kembali ke sini untuk menitip sebaris dua ayat. Walaupun sarat bebanan lain masih lagi tergenggam, tapi akan Kawe aturkan  jua langkahan ini. Sebenarnya banyak yang ingin diceritakan selama ‘kehilangan’ Kawe selama hampir 6 minggu ini.

 

 

 

 

Published in: on April 22, 2008 at 12:02 am  Comments (11)  

Pasca PRU12: Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji..

Kawe pasti bahang PRU12 masih belum reda. Rata-rata masih bercakap tentangnya, bercerita tentangnya. Sebuah cerita yang bukan dongeng, bukan rekaan. Ianya sebuah realiti. Realiti kuasa rakyat. Rakyat telah menentukannya. Rakyat telah menentukan apa yang dimahukan mereka. Semua telah tahu, penentuan yang dimahukan oleh rakyat itu maha mengejutkan! Ia bagaikan gelombang yang membadai. Bisa mengejutkan insan yang selama ini terlena. Berilah apa saja alasan, bagi Kawe kepeutusan itu mencerminkan bahawa rakyat mahukan perubahan dan kesedaran pemerintah akan keperluan  dan kemahuan mereka.

Adat berlawan di gelenggang pasti ada yang menang, ada yang tewas. Bagi yang berjaya dipilih menjadi wakil rakyat anggaplah kemenangan itu hanya detik permulaan kepada mereka untuk berusaha menunaikan janji-janji manis yang ditaburkan semasa berkempen. Amanah dan tanggungjawab yang besar tersebut harus dipikul dan dilaksanakan sebaik-baiknya dan perlu dibuktikan kepada para pengundi. Kegagalan berbuat demikian bermakna nhukuman menanti dihujung penggal. Rakyat akan menuntut apa yag dijanjikan. Bahkan, tiada alasan untuk mereka melarikan diri dari segala tanggungjawab itu. Mereka telah berjanji dan mereka mesti menepatinya.

Published in: on Mac 11, 2008 at 12:23 am  Comments (4)  

Keputusan Plihanraya Umum ke-12 (PRU12) – Malaysia Decides!

Jam sekarang dah menunjukkan jam 4.43 minit pagi, 9 Mac 2008. Kawe masih lagi tidak dapat melalapkan mata. Sepanjang malam tadi, Kawe menghabiskan masa dengan mengikuti perkembangan dan keputusan Pilihanraya Umum ke-12 yang dikatakan telah mencipta sejarah baru arena politik Malaysia.

Tsunami Politik, itulah ungkapan yang boleh disifatkan bagi keputusan PRU kali ini. Sedari jam 7.30 malam, Kawe sudah terpacak di depan TV menonton rancangan khas keputusan PRU12 di saluran RTM1. Dari keputusan  PRU edisi ke-12 ini merupakan rekod keputusan terburuk BN semenjak Pilihanraya 1956. Pada pilihanraya kali ini kita dapati banyak berita yang mengejutkan berlaku. Di antara berita yang sangat mengejutkan adalah kekalahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, DS Sharizat Jalil yang kalah ditangan pendatang baru, puteri reformasi Nurul Izzah Anwar di parlimen Lembah Pantai. Ianya agak mengejutkan kerana tidak seorangpun menyangka DS Sharizat akan kalah, setelah apa yang telah beliau laksanakan di Lembah Pantai selama 3 penggal berkuasa di situ. Agak mengejutkan juga apabila Menteri Penerangan, DS Zainuddin Maidin juga kalah di Parlimen Sungai Petani. Begitu juga dengan kekalahan DS S. Samy Vellu di Parlimen Sunga Siput pada hari jadinya.

Agak malang untuk parti komponen kedua terbesar BN iaitu MCA yang mana pada kali ini MCA mengalami kekalahan yang besar di kebanyakan kerusi parlimen dan negeri yang dipertandingkan. MCA hanya menang 15 kerusi daripada 40 kerusi yang dicalonkan dan kehilangan banyak kerusi DUN daripada 90 kerusi DUN yang dipertandingkan. MCA mengalami kekalahan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, P. Pinang dan N. Sembilan.

PRU12 ini juga menjadi sejarah hitam bagi MIC apabila Presiden, Timbalan Presiden, 2 orang Naib Presidennya telah kalah di parlimen masing-masing. Jika sebelum ini pada PRU11, MIC berjaya  memenangi 100% kerusi yang dicalonkan, tetapi pada PRU12 ini MIC hanya memenangi 3 kerusi parlimennya.

Satu lagi parti komponen BN yang menerima tamparan hebat ialah Gerakan, yang sebelum ini cukup gagah bertapak di P. Pinang. Tetapi, pada edisi kali ini, parti Gerakan tewas hanpir di kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang dipertandingkan. Daripada 12 kerusi Parlimen, Gerakan hanya memenangi kerusi Parlimen Gerik dan Simpang Renggam. selain dari memenangi hanya 5 kerusi DUN. Malang bagi Pemangku Presiden Gerakan, DS Koh Tsu Koon apabila beliau kalah di Batu Kawan.

Pada PRU12, dapat dilihat akan kebangkitan parti-parti pembangkang seperti PKR, PAS dan DAP. Sehingga pukul 4 pagi tadi, parti-parti pembangkang telah memenangi masing-masing 31 kerusi parlimen untuk PKR, 28 kerusi untuk DAP dan 23 kerusi untuk PAS. Walaupun BN mendahului dengan memenangi 137  kerusi parlimen dan berjaya membentuk kerajaan, tetapi BN  gagal memperoleh majoriti mudah 2/3.  BN memerlukan 148 kerusi parlimen untuk mendapat majoriti 2/3. Untuk rekod, ini merupakan kali pertama BN gagal mendapat majoriti tersebut. Jika dilihat kepada angka-angka tersebut jelas sekali ternyata terdapat pengurangan kerusi parlimen yang dimenangi oleh BN dan peningkatan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti pembangkang. Ternyata di sini dapat dilihat akan kebangkitan pembangkang. Walaupun BN berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan, tetapi terdapat anjakan atau perubahan di peringkat Kerajaan Negeri di mana parti-parti pembangkang telah berjaya menawan dan menguasai di empat negeri iaitu P. Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Tidak terkecuali, parti pembangkang PAS berjaya mengekalkan penguasaan ke atas Kelantan. Jika dilihat sebelum ini keempat-empat negeri yang berjaya ditawan tersbeut merupakan kubu kuat BN. Seperti yang diramalkan negeri Johor memberi peratusan kemenangan kepada BN dengan membolot hampir kesemua kerusi parlimen dan negeri.

Trend pemilihan oleh pengundi adalah pelbagai. Dapat dilihat di sini, trend pemilihan pengundi dari etnik Cina dan India pada kali ini cenderung untuk memangkah parti pembangkang. Begitu juga bagi penduduk di bandar-bandar besar adalh mempunyai kecendurungan yang sama, iaitu memilih parti lawan sebagai wakil suara mereka di dewan rakyat atau di dewan negeri. Pada beberapa tempat, pemilih lebih suka untuk mengundi calon daripada mengundi untuk parti. Kita juga mendapati jumlah majoriti yang dimenangi oleh pihak BN rata-rataya adalah kurang atau tipis dengan perbezaan undi dalam unit ratusan sahaja.

Apa yang boleh Kawe katakan, pada PRU12 ini warga Malaysia telah mula menggunakan hak bersuara ini dengan memberikan keputusan yang dikira dapat mengubah apa yang berlaku sekarang ini. Isu-isu berkaitan kenaikan harga barang keperluan, kenaikan tol, minyak,  peningkatan jenayah, isu berkaitan perkauman dan hak etnik dan beberapa isu lain telah membuatkan mereka begitu menginginkan kepada angin perubahan. Senario ini mrupakan wake-up call bagi semua parti-parti politik. Semoga selepas ini masing-masing (tak kiralah dari parti manapun) dapat mengubah, memperbetulkan dan meningkatkan diri demi kebaikan dan kejayaan bersama. Laksanakanlah tanggungjawab yang diamanahkan dengan sewajarnya dan bukan untuk kepentingan diri sendiri semata.

Keputusan rasmi PRU-12 boleh didapati dilink seperti di bawah:

http://pru12.spr.gov.my/spr/laporan/5_KeputusanKeseluruhan.php

http://www.bharian.com.my/klikkhas/pilihanraya/index_html

http://thestar.com.my/election/maps/

 

 

 

 

 

Published in: on Mac 9, 2008 at 6:38 am  Comments (16)  

And the Oscar goes to..

no_country_for_old_men_poster.jpg

Filem No Country for Old Men telah diangkat sebagai Filem Terbaik di Anugerah Akademi pada edisi ke-80 setelah memenangi 3 lagi anugerah bagi kategori Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Lakkon Layar (Adaptasi) Terbaik. Filem ini telah mengetepikan saingan utamanya iaitu filem There Will Be Blood yang hanya meraih dua anugerah melalui kategori Sinematografi Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik. Pengarah filem ini, Joel dan Ethan Coel diundi  sebagai pengarah terbaik kali ini.

Best DirectorKeputusan juga amat mengejutkan apabila calon favorite Cate Blanchet gagal meraih sebarang anugerah melalui dua kategori beliau dicalonkan iaitu kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembant Wanita Terbaik. Beliau dikalahkan oleh Marion Cottilard dan Tilda Swinton. Walau bagaimanapun bagi kategori pelakon lelaki pula seperti menepati ramalan ramai apabila Daniel Day-Lewis dan Javier Bardem memenangi kategori masing-masing untuk Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Senarai rasmi pemenang Angerah Akademi edisi ke-80 boleh dilihat di sini.

Marion Cotillard

 

Terdahulu acara ini seperti edisi lepas akan dimulakan dengan Red Carpet yang cukup elegan dan glamor. Hujan renyai-renyai turun di awal pembukaan aturcara telah memaksa pihak penganjur memasang kanopi di sepanjang laluan karpet merah. Sungguhpun begitu ia tidak sedikitpun merosakkan kemeriahan majlis ini.

 

Published in: on Februari 25, 2008 at 2:36 pm  Comments (4)  

The 80th Annual Academy Awards (OSCARS 2008) – Malam Bintang-bintang Bergemerlapan

The 80th Oscars PosterMALAM di kala bintang-bintang bergemerlapan! Begitulah selayaknya diumpamakan tatkala acara yang begitu berprestij  dan spektakular Anugerah Akademi atau dikenali juga sebagai Anugerah OSCAR 2008 edisi ke-80 yang akan berlangsung pada 9 pagi waktu Malaysia. Pada saat entri ini ditulis masih tinggal kurang dari 12 jam acara yang ini akan berlangsung.  Kawe seperti tahun-tahun sebelum ini sememangnya amat teruja untuk menyaksikannya acara yang akan dilangsungkan dari Kodak Theater, Hollywood. Tapi sayang pada tahun ini Kawe hanya dapat menyaksikan acara ini pada tayangan waktu perdana (repeat) pada sebelah malamnya, berbeza seperti tahun-tahun yang lalu ditonton secara langsung dari Kodak Theater di saluran Star Movie di Astro.

Anugerah ini diadakan sebagai penghargaan di atas pencapaian bakat kalangan khalayak penggiat seni pengarahan, penulisan, lakonan, penerbitan dan teknikal (belakang tabir) bagi sesuatu filem atau dikenali sebagai motion pictures. Kalau dilihat Akademi itu adalah nama pendek bagi Academy of Motion Picture Arts and Science. Ia merupakan sebuah badan yang ditubuhkan dengan bertujuam mempromosikan filem-filem keluaran Hollywood. Para pemenang bagi 24 kategori  yang dipertandingkan akan di anugerahkan trofi atau statuattes yang dinamakan Academy Award of Merit, sebuah patung bersadur emas bersaiz 34 cm tinggi dan seberat 3.85 kg. Patung ini juga cukup glamour dengan gelaran the Oscar, yang mana  cukup misteri tentang asal usul panggilan itu. Terdapat beberapa kisah dan individu yang dirujuk berkaitan dengan panggilan itu.

Bagi edisi yang ke-80 ini, acara yang berprestij ini akan diterbitkan oleh Gilbert Cates, penerbit yang bukan asing lagi bagi acara ini. Beliau telah menerbitkan acara ini bagi edisi yang ke-67 dan ke-78 dan telah memenangi beberapa Anugerah Emmy. Berlandaskan kepada kejayaan tersebut beliau dijemput sekali lagi oleh Akademi pada tahun ini. Hos pada tahun ini pula adalah Jon Stewart yang sememangnya terkenal sebagai hos rancangan komedi The Daily Show with Jon Stewart. Ini merupakan tugas kali kedua bagi Stewart mengacarakan anugerah Akademi. Edisi kali ini juga akan membariskan ramai bintang-bintang terkenal sebagai penyampai anugerah. Antaranya, pemenang-pemanang kategori edisi lepas seperti Helen Mirren, Jennifer Hudson dan  Martin Scorsese. Beberapa bintang lain seperti Anne Hathaway, George Clooney, Cate Blanchet, Tom Hanks (my favorite actor), Harrison Ford, Nicole Kidman (my favorite actress) dan ramai lagi.

Senarai pencalonan bagi edisi kali ini boleh dilihat di sini.

Rata-rata para pemerhati filem menjangkakan filem No Country for Old Man dan There Will Be Blood akan meraih anugerah Filem Terbaik. Adik beradik Coen dijangka akan memenangi kategori Pengarah Terbaik melalui filem mereka No Country for Old Man. Pemerhati filem juga meletakkan harapan pada Daniel Day Lewis atau George Clooney untuk meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik melalui lakonan masing-masing There Will Be Blood dan Micheal Clayston. Manakala, anugerah Pelakon Wanita Terbaik wajar diberi kepada Julie Christie untuk filem Away From Her. Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula dijangka dimenangi oleh Javier Bardem juga untuk filem No Country For Old Man. Kategori Pelakon Pembantu Wanita pula layak diberi kepada Cate Blanchet untuk filem I’m Not There.

Berikut adalah prediksi Kawe bagi pemenang anugerah OSCAR pada tahun ini berdasarkan komentar penulis dan jurnalis filem yang Kawe baca.

Filem Terbaik: No Conutry for Old Man

Pengarah Terbaik: Joen Coen & Ethan Coen (No Country for Old Man)

Pelakon Lelaki Terbaik : Daniel Day Lewis (There’ll be Blood)

Pelakon Wanita Terbaik: Julie Christie (Away From Her)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik : Javier Bardem (No Country for Old Man)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Cate Blanchet (I’m Not There)

Filem Animasi Terbaik: Ratatouile

Filem Bahasa Asing Terbaik: The Counterfeiters (Austria)

Lakon Layar Asal Terbaik: Diablo Cody (Juno)

Lakon Layar Adaptasi Terbaik: Joel & Ethan Coen (No Country For Old Men)

Dokumentari Terbaik: No End In Sight

Skor Muzik Asal Terbaik: The Atonement

Lagu Asal Terbaik: Falling Slowly (Once)

Suntingan Terbaik: Bourne Ultimatum

Penataan Seni Terbaik: Sweeney Todd

Sinematografi Terbaik: The Atonement

Rekaan Kostum Terbaik: The Atonement

Make-up Terbaik: La Vie en Rose

Kesan Bunyi Terbaik: Transformer

Suntingan Bunyi Terbaik: Transformer

Kesan Visual Terbaik: Transformer

Filem Pendek ‘Live Shot’ Terbaik: Tanghi Argentini

Filem Animasi Pendek Terbaik: I Met The Walrus

Dokumentari Terbaik – Short Subject: Sari’s Mother

 

Selamat berjaya kepada calon dan selamat menonton!

 

 

Published in: on Februari 24, 2008 at 11:13 pm  Comments (3)  

PRU12: 10 Calon Menang Tanpa Bertanding

Berikut adalah senarai calon yang menang tanpa bertanding:

PARLIMEN

1. Datuk Seri Azalina Othman (BN) – Pengerang (Johor)

2. Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN) – Kalabakan (Sabah)

3. Tan Sri Joseph Kurup (BN) – Pensiangan (Sabah)

4. Aaron Ago Dagang (BN) – Kanowit (Sarawak)

5 Joseph Entulu Belaun (BN) – Selangau (Sarawak)

6. Alexander Nanta Linggi (BN) – Kapit (Sarawak)

7. Norah Tun Abdul Rahman (BN) – Tanjong Manis (Sarawak)

DEWAN UNDANGAN NEGERI

8. Datuk Ramlee Marahaban (BN) – Bugaya (Sabah)

9. Datuk Abdul Rahman Palil (BN) – Sementa (Selangor)

10. Wan Ubaidah Omar (Pas) – Kijang (Kelantan)

Published in: on Februari 24, 2008 at 9:39 pm  Comments (2)  

A Warm Greeting From Down Under – Part 2

syd121.jpg 
Harbour Bridge on the background
syd10.jpg 
 Sunset Cruising
syd11.jpg
Lepak by harbourside 
Cerita akan menyusul… heheheheh..
Published in: on Februari 17, 2008 at 2:36 am  Comments (10)  

Marilah mari pergi mengundi

peti.jpgSuruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah memilih tarikh 8 Mac sebagai hari rakyat Malaysia keluar mengundi. Manakala tarikh untuk penamaan calon-calon parti yang bertanding akan dilaksanakan pada 24 Februari. Ini bermakna tempoh berkempen adalah selama 14 hari.

Marilah kita semua (bagi yang berdaftar) menunaikan tanggungjawab ini.

 

 

Published in: on Februari 14, 2008 at 1:05 pm  Comments (9)  

Parlimen Telah Dibubarkan

 voting.jpg

YAB Perdana Menteri telah mengisytiharkan pembubaran parlimen pada satu sesi sidang akhbar khas di pejabat beliau pada jam 12.35 tengahari tadi setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong pada sebelah paginya. Serentak dengan itu semua Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali Sarawak turut dinasihatkan dibubarkan pada hari yang sama bagi membolehkan pilihanraya umum yang ke-12 dilaksanakan.

SPR akan  bermesyuarat pada hari esok untuk menentukan 2 tarikh penting iaitu tarikh penamaan calon dan tarikh membuang undi.

Maka, sebagai rakyat Malaysia yang telah berdaftar, marilah kita sama-sama menunaikan tanggungjawab ini.

Kawe: Dah lama tak kedengaran lagu ni. Marilah mari, pergi mengundi, tunaikan kewajipan pada negara.

 

Published in: on Februari 13, 2008 at 3:52 pm  Comments (4)