1 Mei – Selamat Hari Pekerja Sedunia, Selamat Ulang Tahun Kelahiranku ke-33

Pertama sekali Kawe ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Pekerja Sedunia kepada seluruh warga pekerja di Malaysia dan dunia.

Tetapi, apakah yang istimewa tentang 1 Mei ini? Sebagai pekerja Kerajaan mahupun swasta, kita sedia maklum bahawa 1 Mei telah diisytiharkan sebagai Hari Pekerja dan digazetkan sebagai Hari Cuti Umum bukan sahaja di Malaysia malah disambut juga hamipr keseluruhan negara di dunia.

Menyorot kembali sejarah silam, idea sambutan Hari Pekerja telah dimulakan di Australia pada tahun 1856. Kempen dicetuskan oleh golongan Proletariat yang mendesak pihak majikan mereka untu mendapatkan waktu bekerja 8 jam sehari. Pada asalnya mereka memilih tarik 21 April 1856 dengan mengadakan demonstrasi pada hari tersebut. Setelah demonstrasi yang pertama tersebut berjaya memberi kesedaran positif kepada golongan itu sehingga tercetusnya pemberontakan yang baru menyebabkan keputusan diambil untuk meraikan perayaan itu setiap tahun.  Idea perayaan Hari Pekerja ini diterima di seluruh Australia dengan cepat, malah mula tersebar ke negara-negara lain di seluruh dunia. Kejayaan pekerja Australia mencapai matlamat bekerja lapan jam sehari telah mendorong pekerja di negara lain menuntut hak yang sama. Pada tahun 1886, para pekerja di US mengambil keputusan bahawa seita 1 Mei patut menjadi hari pemberhentian bekerja antarabangsa. Pada hari tersebut lebih 200,000 orang pekerja meninggalkan tempat kerja dan menuntut masa bekerja lapan jam sehari.

Sambutan 1 Mei sebagai Hari Pekerja di Malaysia bermula 36 tahun dahulu iaitu pada tahun 1972. Perisytiharan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan Hari Cuti Umum di Malaysia telah dilaksanakan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, Allahyarham Tun Dr. Ismail pada majlis perasmian Seminar Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972. Perisytiharan ini juga adalah hasil usaha gigih para proletariat negara pada masa lalu yang didorong oleh semangat perjuangan untuk mkendapatkan waktu bekrja yang adil dan menentang sebarang bentuk penindasan dan tekanan oleh pihak majikan.

Di dalam konteks sambutan masa kini, Kawe rasa ideanya tidak berubah, walauoun kita jarang ke medan demonstrasi untuk menyatakan ketidakpuasan dan menuntut hak kita sebagai pekerja. Sambutan Hari Pekerja pada dekad ini bukan hanya sekadar penghargaan buat kita di atas segala perih jerih dan penat lelah yang kita sumbangkan demi kemajuan organisasi kita. Bagi Kawe, Kerajaan dan majikan perlu sensiitif dan menimbang segala tuntutan pekerja dari semasa ke semasa. Kerajaan mahupun majikan seharusnya prihatin di dalam aspek layanan, pemberian gaji, bonus & insentif lain, kemudahan yang setimpal dengan khidmat yang diberikan dan aspek kebajikan pekerja.

Kita pula sebagai pekerja perlu sentiasa melakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh dalam melunaskan setiap tanggungjawab yang diamanahkan. Kita perlu menjadi seorang pekerja yang produktif. Dalam usaha untuk terus kekal bersaing dan relevan setiap masa, perubahan tidak dapat dielakkan. Hari ini kita lihat bagaimana kepakaran dan kekuatan individu itu sendiri di dalam bidang pekerjaan yang dipilih adalah amat dituntut demi survival individu itu sendiri dalam menempuh cabaran globalisasi ini. Sebagai persediaan menghadapi cabaran globalisasi, seorang pekerja perlu menganalisis kekuatan dan kelemahan yang ada. Kita perlu melakukan benchmarking terhadap pencapaian kita berdasarkan prestasi yang lepas.

Istimewanya 1 Mei ini, ia juga merupakan Hari Ulang Tahun Kelahiran Kawe. Pada tahun ini umur Kawe telah berganjak setahun lagi. Pada usia 33 tahun kini, Kawe rasa masih banyak lagi impian Kawe yang belum tercapai termasuklah hal berkaitan jodoh. Heheh. Apa yang Kawe doakan adalah semoga Kawe sentiasa dirahmati, sentiasaa sihat, dipermudahkan rezeki dan panjang umur. Kawe juga ingin mengucap terima kasih kepada kedua anak buah Kawe (Nasrul & Mustakim), Wira dan Tasnim di atas ‘surprise celebration’ sejurus selepas tengah malam tadi. Terima kasih kerana mengingati. Kek tu memang sedap dan hadiah-hadiahnya sangat sesuai dengan Kawe. Kawe sangat menghargainya. Untuk semua rakan-rakan yang telah memberi ucapan selamat kepada Kawe, terima kasih juga diucapkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements
Published in: on Mei 1, 2008 at 1:12 pm  Comments (15)  

A Warm Greeting From Down Under – Part 2

syd121.jpg 
Harbour Bridge on the background
syd10.jpg 
 Sunset Cruising
syd11.jpg
Lepak by harbourside 
Cerita akan menyusul… heheheheh..
Published in: on Februari 17, 2008 at 2:36 am  Comments (10)  

That’s How Kawe Moves.., Thank You For The Ride Bros!

Matilah korang! Nah, entri yang kedua dari Kawe dalam masa satu hari. Kawe ni kalu sudah mula menulis susah nak berhenti. Ada saja benda yang hendak ditulis. Rasakan! Biar termuntah korang nak baca semua ini.  

Dalam entri Kawe yang sebelum ini, Kawe ada cerita yang Kawe ni mempunyai masalah rabun jauh dan akibatnya Kawe tidak ada lesen memandu. Justeru, pada kali ini Kawe nak ceritakan bagaimana kehidupan Kawe tanpa lesen memandu. Tanpa lesen memandu bererti Kawe tak boleh memandu kereta atau motosikal atau kapal terbang mahupun kapal selam! Sedangkan pada masa ini, hampir semua kawan2 Kawe sudah dua tuga kali menukar kereta. Dari kereta kecil ke kereta besar. Tak apalah mereka mesti tukar kereta besar sebab keluarga mereka sudah besar, anak sudah besar-besar, binipun dah besar gebu. Tapi yang paling penting kenapa mereka intg_netw_new1.giftukar kereta besar sebab perut  dah besar, dah buncit! Tak macam Kawe. Larrriiikkkk. Pernah satu ketika dulu, kawan-kawan kata susah kalau tak ada kereta. Kawepun hairan apalah susah sangat tak ada kereta. Sampai sekarangpun Kawe tak rasa susahpun tiada kereta. Dapat juga Kawe bergerak ke sana ke mari, ke situ ke siti (sekadar pinjam statement Joebangla). Memanglah kekadang tu  terasa susah juga dalam situasi-situasi tertentu. Kekadang tu terasa rendah diripun ada juga. Yelah, masyarakat kita suka menilai sesorang itu dari segi material. Jika orang itu tidak berkereta, maknanya orang itu tidak berkemampuan. Selalu bila Kawe balik kampung untuk bercuti selalu jiran-jiran bertanyakan Kawe bila nak pakai kereta. Malu juga rasanya. Gerampun ada. Tapi pokoknya, Kawe bukan tak mampu. Bukan mereka tahupun masalah Kawe sebenarnya. Ah, persetankan! Biarlah mereka bebas berkata apa. Malaysiakan negara bebas. Tapi bila difikirkan ada betul juga. Bila lagi Kawe nak pandu kereta bawak mek ke Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu tu. Bila lagi nak pandu kereta sendiri nak bawa ayah ke klinik untuk ambil ubat dia. Bila lagi nak pandu sendiri nak bawa balik bakal menantu jumpa ayah dan mek. Tapi apakan daya! Insya Allah, kalau penglihatan Kawe dah beransur baik dan tahap keyakinan Kawe untuk memandu dah meningkat, akan Kawe dapatkan lesen memandu dan membeli sebuah kereta. Kawe ada juga berangan-angan kalau dah dapat lesen nanti Kawe akan beli kenderaan dari jenis 4WD. Tak kisahlah jenama apapun, janji 4WD!

Mesti kalian tertanya-tanya, bagaimana Kawe hidup tanpa kereta. Bagaimana Kawe pegi kerja? Pergi pasar, pergi shopping, pergi taman, pergi tengok wayang, pergi dating, pergi jumpa kawan, pergi mana-mana saja. Bergerak ke sana, ke sini, ke situ dan ke siti? Heeheh. Senang saja. Gunakanlah pengangkutan awam. Kerajaan sudah berbelanja berbilion ringgit untuk membangun dan menambah infrsatruktur meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam. Kalau kita tak gunakan siapa lagi yang akan gunakan. Apa yang Kawe lihat ramai warga asing yang menggunakan kemudahan tersebut. Kawe ni boleh lah digelar pengguna tegar. Setiap hari Kawe akan gunakan perkhidmatan ini. Untuk ke tempat kerja Kawe nun jauh di Putrajaya, Kawe perlu menaiki LRT Rapid dari stesen Cempaka ke stesen Chan Sow Lin untuk menukar tren ke laluan Sri Petaling untuk ke Stesen Bandar Tasik Selatan (BTS). Tiba di stesen BTS Kawe akan bergegas ke Stesen ERL untuk menaiki tren KLIA Transit ke stesen Putrajaya Sentral (PJS). Setelah sampai di PJS, Kawe akan mengambil bas Nadi Putra atau teksi berkupon untuk ke pejabat di Kompleks D. Semuanya mengambil waktu perjalanan lebih kurang 1 jam 20 minit. Nampak agak rumit, tetapi bila lama-kelamaan diulang-ulang, jadinya kebiasaan. Alah bisa tegal biasa. Kalau nak nak ke Bukit Bintang, KLCC untuk shopping atau ke gym Kawe akan gunakan tren dan monorel ataupun teksi. Kalau pergi beli barang dapur kat Jusco ke, kat Carefour ke atau kat Tesco, Kawe lebih suka bawa naik teksi. Senang nak bawa balik barang-barang yang dibeli setroli tu. Takkanlah nak seret masuk tren pulak. Sama jugalah kalau pergi tengok teater ke, muzikal ke kat Istana Budaya Kawe akan gunakan teksi. Begitu juga kalau Kawe nak pergi jogging di Tasik Titiwangsa atau Tasik Permaisuri panggil teksilah jawabnya. Kawe juga ada beberapa orang pemandu teksi kegemaran  yang selalu Kawe gunakan khidmat mereka. Selalunya jika ada event tertentu ataupun Kawe ingin ke KLIA (ketika outstation, jika pemandu di pejabat tiada).

Selama Kawe menggunakan perkhidmatan awam ni berbagai pengalaman yang telah Kawe lalui. Pelbagai ceritanya. Kalau kisah di dalam tren tu macam-maca cerita ada. Ada yang tidur sambil berdiri. Ada yang ternampak spender sebab pakai seluar pendek. Ada orang mabuk yang kencing dalam tren. Ada yang bergaduh, yang bercakap kuat-kuat di handphone. Ada yang kuntut! Kalau di waktu puncak, sudah tentu tren tu dah macam tin sardin layaknya. Masa tu adalah tangan-tangan gatal yang suka merayap meraba bontot atau temnpat sulit orang. Tak kira yang meraba itu lekai ke perempuan. Tak kira yang kena raba tu lelaki ke perempuan. Macam-macam ado! Ada yang ambil peluang menyeluk saku, handbag orang. Semua tu pernah Kawe tengok. Kalau naik teksi pula, Kawe dah jumpa dengan macam-macam perangai pemandu teksi. Macam-macam bangsa. Baik Melayu, baik india, baik Cina, baik Bangla, baik Indon, semuanya ada perangai masing-masing. Ada pemandu lelaki, ada pemandu wanita, ada pemadu pengkid, ada pemandu pondan dan ada pemandu yang tak tahu Kawe nak kelaskan jantinanya.  Semuanya pernah Kawe rasai. Ada yang pandu perlahan macam siput. Ada yang pandu macam lipas kudung, macam bawak fighter jet pun ada. Ada yang terlalu ikut peraturan. Ada yang tipu meter ada yang tipu jalan. Suka hati dia saja kata tu jalan pintas! Ada juga buat sex-harrasment. Cakap lucah-lucah. Ada juga yang tunjuk anu dia kat Kawe Musykil pulak! Kebanyakan teksi di Kuala Lumpur ni busuk! Jarang sekali Kawe dapat naik teksi yang bersih dan berbau wangi. Sama ada teksi atau kereta yang kotor atau kedua-duanya sekali. Pemandunya ada yang tak mandi pagi. Ada yang mabuk todi, berbau beer! Alhamdulillah setakat ini belum ada kejadian buruk lagi yang menimpa. Panjang sebenarnya untuk ditaip di sini. Kalau nak dibandingkan perkhidmatan teksi di KL dengan ibu kota lain, tak perlu pergi jauh, sekadar merujuk kepada teksi di Jakarta, teksi di sana lagi bagus. Bukan niat untuk tidak patriotik, tapi itulah hakikatnya.

erljpeg.jpgDi sini Kawe nak juga bercerita tentang insan-insan yang pernah menjadi supir Kawe ucap terima kasih kepada kawan-kawan dan insan yang pernah menumpangkan Kawe. Teringat lagi Kawe, semasa bekerja di Pusat Bandar Damansara dulu, Kawe menunpang kereta sahabat baik Kawe, iaitu HE. Kawe amat berterima kasih pada dia kerana sudi menghantar dan mengambil Kawe ke/dari tempat kerja, walaupun pada masa itu die bekerja di Jalan Duta. Pada waktu itu dia adalah rakan serumah Kawe. Tiap-tiap hari dia kena hantar dan ambil Kawe di Pusat Bandar Damansara. Bila dia sepejabat dengan Kawe pada tahun berikutnya, Kawe pula sudah tinggal di Wangsa Maju dan dia pula tinggal di Cheras. Tapi dia masih lagi menumpangkan Kawe semasa balik kerja dengan menghantar Kawe ke stesen LRT Bangsar. Kawe  tabik dengan effort dia. Sanggup meredah trafik di Jalan Maarof, Bangsar semata-mata untuk menghantar Kawe ke stesen LRT Bangsar. Apabila pejabat kami telah berpindah ke Parcel E, Putrajaya dia masih sudi menumpangkan Kawe ke Stesen LRT Sungai Besi. Segala budi dia sampai sekarang tak terbalas oleh Kawe. Dia sedar akan kesusahan Kawe dan cuba membantu Kawe setakat yang dia mampu. Setelah dia berkahwin Kawe jarang menumpang keretanya, kerana Kawe tidak mahu mengganggu waktu-waktu privasi dia. Adalah juga di kala waktu terdesak Kawe menumpang kereta dia. Selepas Kawe ditukarkan ke Parcel D, Kawe amat jarang menumpangnya untuk balik. Lagipun waktu balik kami berlainan. Tetapi sekali-sekala Kawe menumpangnya untuk ke masjid pada hari Jumaat. Terima kasih HE! Jasamu sentiasa dikenang.

Orang kedua yang Kawe ingin ucapkan terima kasih ialah kepada Abang Joe. Abag Joe ni Kawe baru sahaja kenal dalam2 tahun kebelakangan ini. Dia tinggal berdekatan dengan rumah Kawe di Pandan Indah. Abang Joe pada pandangan Kawe ialah seorang yang sangat baik dan pemurah. Wakaupun dia seorang yang pendiam tetapi dia tidak sombong. Kawe nak ucap terima kasih kerana sudi menumpangkan Kawe ke pejabat sepanjang lebih 1 tahun lebih. Oleh kerana kami tinggal berdekatan dan bekerja di tempat yang sama iaitu di Putrajaya, jadi Kawe dengan tidak malunya Kawe bersetujulah untuk menumpang keretanya setelah dipelawa pada satu hari. Kawe pada mulanya agak segan juga, kerana sebelum ini kami tidaklah berapa rapat, cuma kenal dan terserempak di kedai makan dekat rumah kami. Kawe ada juga tanya berapa Kawe perlu bayar walaupun Kawe tahu dia ikhlas nak tolong Kawe. Tapi Abang Joe kata tak payah bayar apa-apa.  Katanya, bukan setiap hari Kawe naik keretanya. Kekadang dia atau Kawe bercuti. Kekadang Kawe atau dia bekerja atau berkursus di luar kawasan. Betul juga.  Tapi, Kawe ni sentiasa ingat pesan mek Kawe, kalau orang berbudi, kita perlu berbahasa. Untuk tiga bulan pertama tu ada juga Kawe hulurkan duit yang Kawe masukkan ke dalam sampul surat. Duit tu sebenarnya untuk Abang Joe top-up Kad Touch ‘N Go. Tiap-tiap kali bila lalu toll gate, Kawe akan tengok baki kad touch ‘n go dia. Kawe tahu Abang Joe tak mahu duit tu, sebab itulah bulan seterusnya Kawe dah tak bagi duit tu. Heheh.  Baru Kawe perasan, selepas raya hari tu, sekarang ni Kawe jarang tumpang kereta Abang Joe. Bukan Kawe tak sudi sebenarnya, tapi Kawe perlu keluar awal untuk sampai awal di pejabat. Selalunya, kalau menumpang abang Joe, kami keluar pukul 7.10 pagi. Kekadang sampai awal, kekadang sampai lewat  bergantung pada keadaan trafik hari tersebut. Kalau Kawe sampai lewat, apalagi Abang Joe, dia lagilah lewat. Kasihan dia, dahlah kena berebut-rebut dapatkan parking lot. Kalau dia lewwat tentu dia kena parkir keretanya di tempat berbayar tu. Kena keluar duit lagi. Rasa serba salah pulak Kawe. Justeru, Kawe nak berterima kasih yang tak terhingga pada Abang Joe yang baik hati ni. Tak terbalas jasa dia. Susah nak cari orang yang baik macam abang Joe ni.

Berbalik semula pada kisah pengangkutan awam tadi, Kawe sarankan agar semua warga kota untuk menggunakan perkhidmatan ini. Ianya menjimatkan  wanga anda kerana tidak perlu membayar tol, petrol, parkir, penyelenggaraan dan menjimatkan masa perjalanan. Ia juga boleh mengurangkan masalah kesesakan trafik di KL. Tapi malangnya tidak semua destinasi yang hendak dituju ada akses kepada perkhidmatan ini. Sudah tiba masanya Kerajaan memperbanyak dan menambah infrastruktur pengangkutan awam ini, lebih-lebih lagi perkhidmatan rel. Banyak negara maju telah membangun dan menyediakan perkhidmatan rel sebagai cara pengangkutan awam utama di bandar besar mereka seperti di Tokyo, New York, London, Paris, Madrid, Sydey dan Seoul. Kawe pernah sampai di Seoul, London, Madrid dan Sydney dan pernah menggunakan perkhidmatan rel mereka. They’re Superb! Kawe rasa gembira dengan cadangan Kerajaan untuk menambah dan memanjangkan lagi landasan rel Rapid KL sehingga ke Puchong, ke USJ dan ke Selayang. Pada masa yang sama, Kawe masih rasa terkilan kerana projek monorel di Putrajaya masih lagi dibekukan. Buktinya, projek ini tidak terdapat di dalam projek RMK9. Menurut masterplan Putrajaya yang asal, perkhidmatan monorel merupakan antara komponen pengangkutan yang utama di Putrajaya. Banyak stesen-stesen (underground atau eleveted) yang akan beroperasi di setiap Presint dan Parcel untuk kemudahan penduduk dan pekerja. Atas alasan itulah juga, kalau diperhatikan tidak banyak terdapat tapak parkir disediakan di Putrajaya. Idea asalnya adalah untuk mengoptimumkan penggunaan monorel dan perkhidamatan bas  berkuasa gas asli yang lebih bersih, menggunakan konsep ‘park ‘n ride’.

Wah, panjang betul Kawe menulis nih. Nak termuntah rasanya. Jadi, selepas korang baca ni, berani tak menyahut cabaran Kawe untuk gunakan perkhidmatan awam? Sila-silakan.

Published in: on Disember 5, 2007 at 1:16 am  Comments (10)  

Out of Sight!

myopia1.jpg

Baiklah! Lama dah Kawe menghilang. Mahu tak mahu Kawe kena update blog Kawe ni. Dulupun masa mula-mula nak menulis blog, Kawe dah janji akan sentiasa update blog ni. Kalau bermalas-malasan nak update, tak perlu ada blog! Bila dah ada blog, rasanya bertambah pula tanggungjawab Kawe. Rasa macam tak lengkap kalau tak update blog ni selalu. Lagipun nanti ayam kata macam hangat-hangat taik orang pulak macam hangat-hangat tahi ayam pulak. Kawe nak ucap terima kasihlah kepada peminat pembaca blog ni, kerana Kawe tahu ada sesetangah tu, tiap-tiap hari dia datang bertenggek sini. Tapi sekadar singgah lalu sajalah, sebab tiada entri baru. Kawe minta maaplah ya, untuk entri kali ini Kawe terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk direlease di blog Kawe yang bertambah-tambah pembaca yang datang walaupun tak ada entri baru. Riaklah pulak! Sebenarnya, Kawe bukanlah kering idea atau tiada cerita untuk dimuatkan di sini, tetapi disebabkan kekangan masa, jadinya terbengkalailah entri Kawe ni. Banyak perkara yang ingin ditulis, dicerita dan dikongsi bersama anda semua. Nah! Merasalah kau baca! Panjang Kawe tulis ni.

Untuk entri kali ni, Kawe ada satu cerita yang Kawe rasa cukup menarik untuk dikongsikan bersama anda semua. Macam sesi pengenalan diri Kawe jugalah ni. Macam sesi ice-breaking gitu! Kalau anda nak tahu Kawe ni ada penyakit! Ha! Apa nih, baru nak kenal dah ada penyakit? Jangan larikkk! Jangan risau ya, penyakit Kawe ni bukan penyakit berjangkit seperti TB ke, STD ke jauh sekali. Bukan penyakit sebenarnya, tetapi lebih kepada masalah kesihatan.  Kawe mempunyai masalah rabun mata. Rabun jauh! Bahasa sains perubatannya disebut myopia (shortsightedness). Sebenarnya rabun ni Kawe inherit dari keluarga sebelah mek Kawe.  Jadinya, ramailah sepupu sepepet sepapat Kawe di sebelah mek Kawe yang rabun ni. Sekarang ini pun ada juga dua ke tiga orang anak saudara Kawe yang mengalami rabun ni. Berbalik semula kepada penyakit rabun Kawe, ia mengakibatkan Kawe terpaksa menggunakan cermin mata atau kanta sentuh atau kedua-duanya sekali! Mesti korang pelikkan, dah pakai kanta sentuh, kenapa perlu pakai cermin mata lagi.

Untuk pengetahuan, tahap kerabunan seseorang dikira menggunakan skala diopter iaitu dikira berdasarkan optical power bagi kanta pembetulan untuk menfokuskan imej  ke atas retina. Bagi kes Kawe, optical power Kawe adalah bersamaan -20.00 pada skala Diopter! (bukan Richter ya, mahu pecah bijik mata aku!). Kes seperti yang Kawe hadapi ini adalah jarang-jarang berlaku. Tetapi, tidak dinafikan kes yang lebih teruk lagi memang wujud, yang mana pesakit terpaksa menggunakan kanta (bukan kanta lekap atau cermin mata) untuk membaca dan membuat kerja-kerja lain. Dan, Kawe pernah melihat kertas peperiksaan yang dicetak khas yang menggunakan font bersaiz 30 dan ke atas untuk kegunaan calon peperiksaan yang bermasalah rabun kronik ini. Kawe tak adalah sampai seteruk itu. Masalah rabun yang Kawe hadapi ini masih lagi boleh diperbetulkan tapi bukanlah 100% sehingga boleh mencapai vision 20/20. Tidak!

Kawe mula menyedari yang Kawe ni rabun apabila Kawe mula bersekolah. Pada masa itu Kawe di sekolah tadika, semasa Kawe masih lagi berumur 5 tahun. Semasa cikgu menulis  huruf dan nombor di papan hitam, Kawe cuma mengikut sahaja apa yang disebut oleh cikgu dan kawan-kawan. Kawe panik! Kenapa orang lain boleh nampak, sedangkan Kawe tak boleh nampak? Musykil! Kawe takut. Sebab lepas ni mesti cikgu suruh sorang-sorang baca apa yang ditulis di papan hitam. Kawe rasa ni tak boleh jadi ni! Makanya, Kawe hafallah huruf-huruf yang disebut oleh disebut oleh kawan-kawan mengikut turutan di papan hitam. Memang betul telahan Kawe. Cikgu menyuruh sorang demi sorang untuk membaca huruf-huruf tersebut. Ada yang boleh jawab. Ada yang tersalah satu dua huruf. Ada yang tak tahu langsung. Ada yang menangis nak balik. Ada yang terkencing. Biasalah budak-budak banyak onarnya! Kawe memang dah sedia, dah hafal semuanya. Bila tiba giliran Kawe, dengan bersemangat dan bangganya Kawe menyebutlah huruf-huruf di papan hitam tu. Cikgu puji Kawe. Dia kata bagus! Kawe menyebut semua huruf-huruf yang ditulis tu. Tapi, masa nak balik cikgu datang jumpa Kawe, dia cakap Kawe ni pandai. Tapi Kawe ni rabun, sebab bila dia tunjuk huruf lain, Kawe sebut huruf lain. Rupanya dia telah tukar turutan huruf. Makanya, dia tahulah Kawe ni rabun. Tiap-tiap hari Kawe kena duduk di depan. Tetapi Kawe masih tidak nampak. Kawe terpaksa berjalan ke papan hitam, hafal apa yang ditulis/lukis dan kembali ke buku untuk ditulis balik! Begitulah kerjanya diulang-ulang sepanjang kelas sehingga Kawe masuk sekolah darjah 2.

Bila masuk Darjah 2, Kawe dapat hadiah  untuk mendapatkan sepasang cermin mata. Ia adalah hadiah dari sekolah kerana Kawe seorang yang pandai. Kata merekalah. Hehehh. Walaupun Kawe bersusah-payah belajar tanpa cermin mata, Kawe masih lagi berjaya mendapat nombor 1 dalam kelas pada setiap penggal peperiksaan. Masa mula-mula memakai cermin mata Kawe rasa pening-pening nak muntah. Macam orang mabuk mengandung trimester pertama. Keh keh keh. Hidung Kawe yang mancung tu pun jadi senget terpenyek, sebab kantanya tebal, besar dan berat. Optical powernya -18.00. Tebal yang amat! Kantanya persis mutiara bontot botol! Bila Kawe pakai, mata Kawe yang sememangnya dah sepet ni, nampak lagi kecil. Buruk sangat rupa Kawe pada masa tu. Nak bermain-main, nak berlaripun susah. Nak mandi sungai, nak terjun parit lagilah susuah. Jadinya, semenjak pakai cerminmata bayak benda yang Kawe dapat lakukan dengan bebas sebelum ni sudah menjadi susah. Jadi satu kekangan! Kalau dulu nak tidur, belasah saja. Bila dah pakai cermin mata ni nak tidurpun kena simpan elok-elok. Nak kena lap-lap dulu sebelum disimpan dalam kotak bergambar kartun yang macam kotak pensil Kawe. Kawe akan letak sebelah bantal Kawe. Nanti kalau terjaga malam nak kencing ke, senang nak ambil. Tetapi, ada juga kelebihan pakai cermin mata ni. Pada waktu tu jarang ada budak2 yang pakai cermin mata. Orang kata, orang yang pakai cermin mata ni, orang-orang yang bijak pandai saja! Bangga pulak Kawe masa tu kerana berada pada kelas tersendiri. Semenjak pakai cermin mata ni, jadi fofuler pulak. Ramai cikgu yang kenal Kawe. Budak-budak sekolah apa lagi. Tak terhandle pulak kefamousan pada masa tu! Wakakaka. Pakailah cermin mata tebal tu sampai ke tingkatan 5. Bagi yang tak biasa atau yang pertama kali melihat Kawe, mereka akan pelik melihat Kawe, sebabnya mereka tak pernah melihat orang yang memakai cermin mata yang setebal itu. Satu lagi, apa yang Kawe perasan mereka ini tak boleh tenung atau melihat lama-lama mata Kawe kerana menurut kawan-kawan Kawe, mata mereka akan rasa berdenyut-denyut. Entahlah, tak tahulah berdenyut yang macam mana. Mungkin disebabkan powernya agak tinggi, makanya seolah-olah ada kuasa dari mata Kawe yang menarik bola mata mereka keluar. Hehehe.

Semasa Kawe di matrikulasi, Kawe mula kenal akan kanta lekap. Ramai kawan2 Kawe yang senasib dah beralih arah dari berkaca mata ke kanta lekap. Tambahan pula, bila dibelek-belek rupa paras Kawe, rupanya hensem juga. Tapi kehenseman Kawe  terselindung di balik cermin mata tebal tu. Heheeh. Kawe adalah juga tanya pendapat kawan-kawan rapat tentang penggunaan kanta lekap. Macam perkara yang Kawe tanya termasuk implikasi kesihatan dan juga kewangan. Kan kanta lekap tu dikira high maintenance jugalah pada zaman tu. Setelah difikir-fikir, dicongak-congak, diambil kira semua pros & cons dan dah terbayang betapa hensemnya kalau tak pakai cermin mata tebal tu, akhirnya bermulalah era baru hidup Kawe yang baru. Kawe dah kembali ‘bebas’ tanpa cermin mata, seperti hidup Kawe sebelum darjah 2 dulu. Rupanya dah 11 tahun Kawe bercermin mata tebal tu. Pada suatu pagi tu, iaitu pada pertengahan semester pertama Kawe di Matrikulasi pergilah Kawe ke sebuah kedai cernin mata di bandar Alor Star. Oleh kerana power Kawe agak tinggi, kanta lekap tersebut perlu ditempah khas dari US, dan mengambil masa selama 2 minggu untuk sampai. Rasa kecewa juga sebab hajat di hati tidak kesampaian, ingatkan nak buat surprise di kelas esoknya. Lagipun, Kawe ada uar-uarkan juga pada roommate. Ish, rupanya kena tunggu lagi 2 minggu. Hampeh! Selepas 2 minggu Kawe pergilah lagi ke kedai tu, walaupun terpakasa meredah hampir 2 jam menaiki bas dari kampus ke Alor Star. Dalam bas tu Kawe dah bayangkan bagaimana rupa Kawe nanti bila dah pakai kanta lekap. Hmmm.. mesti ramai peminat lepas ni. Dah sampai di kedai tu, terus taukeh tu cakap, kanta lekap Kawe belum ada lagi. Huh! Kawe dah seakan menyinga. Kenapa belum ada? Dia cakap pekerjanya tersalah tempah. Dia tempah sebelah sahaja. Sepatutnya sepasang. Bodoh! Bahalol! Baghal! Kena tunggu lagi 2 minggu! Kawe marah betul masa tu. Buang masa, buang duit, buang karan berangan. Selepas 2 minggu Kawe tak pergi ke kedai tu. Bukannya Kawe merajuk tak nak ambil. Lagipun, Kawe dah bayar penuh. Rugi tak ambil. Nanti hangus duit biasiswa Kawe sebanyak RM300 tu. Kawe saja tunggu 1 minggu lagi, kira macam buffer gitu. Takut bendenya belum sampai lagi. Seminggu kemudian barulah Kawe pergi. Sesampai saja sana, taukeh tu tanya, “Haiya, awat you talak latang last week?”. Eh, nak sound kita pulak. Kawe kata, “Jangan cakap banyaklah apek! Mana gua punye lens?”. Kemudian barulah optometrist di situ memanggil Kawe ke biliknya. Dia ajarlah Kawe bagaimana cara nak pakai dan menjaga lens. Dan dia pakaikan kanta lekap tu di mata Kawe. Wah! Akhirnya… Dia kata Kawe ni lengchai. Masa tu Kawe tak tahupun apa maknanya lengchai tu. L%n&u Kawe tahulah. Takkanlah aku pakai kat mata, dia sebut bende tu pulak! Mula-mula Kawe pakai kanta lekap tu okay sahaja. Tetapi, selepas 10 minit lebih, Kawe rasa pening-pening. Awatnya pening ni. Rasa macam mula-mula pakai cermin mata dulu. Macam mana nak balik kampus ni. Dulu tak apa, sebab ada ayah. Sekarang ni aku sorang. Itulah, gatai sangat nak hensemkan! Rasakan! Tak apa mungkin ni sekejap saja, belum biasa lagi, kata Kawe untuk sedapkan hati. Pening-peningpun Kawe gagahkan juga pergi ke stesen. Lega bila dah naik bas. Oleh kerana pening, Kawe tidur sepanjang 2 jam balik kampus. Bila dah sampai tu, rasa pening tadi dah hilang sikit. Kan dah kata, otak Kawe ni tengah dok sesuaikan ni. Sampai saja di kolej Kawe terus buka kanta kekap, cuci dan simpan. Oleh kerana hari dah malan, Kawe terus tidur. Oleh kerana pada masa tu dah penghujung semester, jadinya kelas dan semester dah tamat. Nampak gayanya Kawe punya make-over surprise kena tangguh ke semester depannya. Celaka kedai tu!

Bila dah pakai kanta lekap ni, memanglah leceh. Sememangnya Kawe maklum tentang itu sebelum mengambil keputusan untuk memakainya dulu. Kalaulah bukan kerana nak hensem Kalaulah Kawe memakai cermin mata yang tak seberapa powernya dan berkanta nipis, Kawe tidak akan beralih ke kanta lekap. Cukup susah menjaganya. Nak kena bersih sentiasa. Kosnya pun mahal. Yelah mahal lah, sebab masa tu Kawe hanya bergantung duit biasisawa sahaja. Paling leceh bila nak mencuci. Nak kena pakai cleaner (sabun), kena cuci betul-betul dengan kalau tak mata pedih bila memakai pada hari esoknya.  Nak cucipunkena gosok perlahan-lahan. Selalunya mengambil masa sehingga 10 minit untuk sepasang kanta lekap. Bila nak simpan kena rendam dalam disinfectant liquid pulak. Sekali setiap bulan nak kena rendam dalam protein removal. Leceh betul! Kalau pakai cermin matakan senang saja.

Kawe perasan semenjak pakai kanta lekap ni, rasa lain pulak. Memanglah bila masuk semester baru lepas tu, semua kawan-kawan bagi komen postif dan Kawe juga lebih berkeyakinan, sebab dah tak ada orang tengok Kawe macam tengok alien! (sebab cermin mata tebal tu dah tak ada) Tapi Kawe rasa macam ada sesuatu yang hilang. Ya, Kawe dah hilang keunikan Kawe. Keunikan Kawe tu terletak pada cermin mata Kawe yang tebal tu rupanya! Cermin mata itulah yang membuatkan Kawe lain dari orang lain. Orang kenal Kawe sebab cermin mata tu. Orang selalu merujuk kepada cermin mata Kawe bila bercerita tentang Kawe. Tak kira di mana. Di kampung, di sekolah di matriksm di kolej dan di mana-mana saja. Macam-macam gelaran orang bagi pada Kawe. Biarlah kadang kala gelaran itu  bunyi tak sedap di telinga orang lain tapi sedap di telinga Kawe. Ada juga yang panggil Kawe Superboy! Rindulah pulak pada cermin mata tu. Jangan tak tahu, Kawe sering memakai cermin tu selepas kelas.

Selepas Kawe mula bekerja, Kawe dapati optical power Kawe semakin naik kerana Kawe pandangan Kawe masih kabur untuk melihat benda yang halus dan jauh. Sahlah, power naik lagi setelah pakar opftal di HUKM membuat ujian ke atas mata Kawe. Faktor umur rupanya! Heheh. Dah tuakan. Nasib baiklah Kawe memang suka mengambil sayur-sayuran dan makanan yang menyihatkan mata sebelum ini. Jadinya, ia akan melambatkan proses kerabunan yang lebih kronik. Doktor tersebut nasihatkan Kawe untuk membuat check-up setiap bulan di situ. Dan, yang penting dia tak galakkan Kawe untuk memakai kanta lekap yang Kawe pakai pada waktu itu. Oleh kerana powernya agak tinggi, maka saiznya agak tebal, dan ini menyebabkan aliran oksigen di kornea agak perlahan dan akan meletihkan mata Kawe. Mata Kawe akan jadi stress. Keadaan ini akan menyebabkan berlaku tekanan yang agak tinggi di dalam biji mata dan akan membawa kepada komplikasi yang lain pula. Takutlah pulak Kawe mendengarnya. Terpaksalah Kawe beralih kepada kanta lekap pakai buang yang lebih hygenic (tukar setiap bulan) dan nipis, tapi powernya setakat -12.00 sahaja. Untuk memenuhi kapasiti optical power Kawe, terpaksalah Kawe menempah cermin mata plastik yang bercirikan teknologi high index multicoated lense berkuasa -8.00 yang lebih nipis dan ringan. So, pakailah Kawe cermin mata dan kanta lekap sekali dalam satu masa. Kalau orang lain yang bercermin mata tu digelar bermata empat, tapi bagi Kawe pula bermata enam.

Kawe ada juga  minta pendapatnya, sekiranya ada harapan untuk Kawe melakukan Lasik Surgery. Jawapannya, adalah tidak digalakkan. Berisiko. Katanya, lapisan kornea Kawe telah nipis. Lagipun, pada waktu itu teknologi Lasik dapat menangani masalah bagi optical power sehingga -12.00 sahaja. Kalau Kawe buat operasi tu, masalah Kawe masih tidak selesai, masih perlu pakai cermin mata (tapi nipis). Harganya pun mahal, tak berbaloi! Jadi Kawe lupakan sahaja hasrat untuk buat Lasik.

Sepanjang jadi orang rabun ni, bermacam-macam perkara dan pengalaman yang telah dan sedang Kawe lalui. Banyak sangat, tak tercerita di sini. Kawe tak boleh berjalan dalam gelap. Bukan takut hantu! Tapi takut jatuh longkang, takut terpijak binatang berbisa. Kalau hantu tak ada masalah, sah2 Kawe tak nampak walaupun hantu tu bergentayangan depan mata Kawe, bukan ke Kawe ni rabun. Kalau berjalan dalam gelap di tempat yang biasa Kawe biasa lalu atau pergi, tak menjadi masalah sangat. Sebabnya, Kawe dah tahu di mana longkangnya, di mana tangganya, berapa anak tangganya. Semua benda-benda macam tu ambil dikira. Yang menjadi masalahnya, bila pergi tempat2 yang baru dan tak biasa. Sampai satu tahap tu, kena ada orang pimpin Kawe. Lepas ni janganlah ada orang nak ajak Kawe nak dating malam2 atau kat tempat gelap. Sah2 lah kawe tak nampak korang, dan yang dahsyatnya korang kena pimpin Kawe. Kui kui kui. Padan muka korang!Pernah juga dua kali Kawe jatuh longkang. Sampai terseliauh kaki Kawe. Nasib baik tak patah. Lepas tu Kawe cukup berhati-hati bila berjalan di tempat gelap. Seboleh-bolehnya Kawe akan mengelak keluar di waktu malam. Kawe juga dinasihatkan tidak memandu. Kawe sebenarnya tak ada lesen memandu. Maaplah sekali lagi. Kalu nak dating dengan Kawe korang kena jemput Kawe. Jangan haraplah Kawe datang jemput korang! Kawe kurang yakin untuk memandu, sebab Kawe ni sukar melihat benda yang jauh. Untuk menjadi pemandu yang baik Kawe perlu jelas melihat jauh ke depan dan sempat membuat keputusan yang cepat sekiranya ada apa-apa yang berlaku di hadapan. Di samping tu Kawe juga susah nak mengecam orang dari jarak jauh. Lebih buruk lagi, kekadang Kawe langsung tak terperasan orang itu walaupun di ada di sebelah Kawe. Kasihan dengan mereka tu. Dah puas mereka tersenyum-senyum, tapi tak ada reaksi langsung dari Kawe. Maaflah ya kalau selepas ni giliran anda pulak. Tapi jangan tuduh Kawe sombong pulak. Memang Kawe tak terperasan. Akibat kerabunan, Kawe juga tak boleh nak skodeng macam orang lain. Terselamatlah Kawe dari maksiat dan dosa itu. Selalunya semasa peperiksaan, kadang-kala kita meniru. Tak kiralah, tiru kawan sebelah ke, atau bela toyol ke. Bagi Kawe, disebabkan kerabunan Kawe ni, Kawe terpaksalah melupakan terus niat Kawe tu. Terpaksalah Kawe belajar dengan tekun atau meninggalkan kertas peperiksaan dengan jawapan kosong!

Menjadi orang yang kekurangan (bermasalah penglihatan) menjadikan Kawe seorang yang sentiasa bersyukur. Ada hikmah tertentu disebalik setiap anugerah ciptaan Tuhan itu. Kawe sentiasa mengingatkan diri Kawe bahawa ada orang lain lagi susah dari Kawe. Ada orang yang rabun warna. Ada orang yang kabur matanya. Ada orang buta terus! Kawe masih bersyukur kerana masih lagi dapat menikmati keindahan yang pebagai warna dan tona ciptaan Tuhan. Kawe masih dapat melaksanakan segala tuntutan kehidupan dan melunaskan segala kemahuan Kawe. Nasihat Kawe kepada anda yang tidak mempunyai masalah penglihatan, bersyukurlah dengan apa yang ada pada anda dan jagalah mata anda sebaik-baiknya.

Published in: on Disember 4, 2007 at 6:58 pm  Comments (10)  

Sesatku di rimba kenangan 2

memories1.jpg

Di dalam pengembaraan menelusuri jalan-jalan kenangan itu, satu demi satu Kawe menyelak lembaran-lembaran lama yang Kawe rasa sudah agak lama tidak dirungkai. Aduhai! Alangkah indahnya hidupku ini. Kisah manis dan pahit begitu erat terjalin dan sebati dengan setiap langkah yang dilalui. Pada setiap langkah diinjak ada cerita yang tercitra. Antara nafas yang dihirup dihembus terselit ceria tawa dan antara degup jantung dan denyut nadi bertingkah ada kalanya hati berlagu hiba. Begitu hidup kita. Setiap apa yang berlaku akan lahirlah kenangan. Selagi nyawa dikandung badan. Begitulah! Entah mengapa di saat ini Kawe cukup berani menjejaki kembali kisah-kisah lalu yang sekian lama Kawe tidak lawati.

Bercerita tentang kenangan ni, seperti yang kita maklum sebenarnya kita bercerita tentang kisah-kisah lalu. Tidak kiralah apa kesudahannya, sama ada ceria atau sebaliknya. Kalau bahagia kesudahannya, pasti kita akan mengenangkannya dengan rasa gembira dan vice-versa. Tapi, mengapa perlu ada kenangan? Sememangnya kita  mempunyai  ingatan di benak fikiran kita. Justeru, selagi  hayat masih ada,  selagi itulah kita akan punya kenangan. Kenangan yang kuat pada hati kita biasanya kenangan dari kisah yang memberi impak pada hidup kita.  Apa saja yang membuat hati kita manis atau terluka, pasti sukar untuk kita melupainya. Biar kita terus mencuba!

Tika mengimbau kisah-kisah silam ini, entah mengapa Kawe merasakan ada kenangan yang perlu Kawe kembalikan untuk dinikmati lagi pada hari ini. Ada juga kenangan yang Kawe mahu lupakan terus, semadikan dalam-dalam di lubuk hati  agar tidak terkuak lagi untuk diingati kembali. Dan yang selebihnya Kawe letak di tengah-tengah, agar mudah untuk Kawe lawati kembali bila perlu, bila-bila masa.

Kisah-kisah yang ingin Kawe kembalikan pada saat ini pastilah kisah-kisah yang membahagiakan. Pastinya kenangan bersama keluarga menduduki carta teratas. Alangkah manis pada saat dimanja, dibelai, diusap, didokong, dibimbing, disuap dan bermacam-macam lagi yang diperlakukan oleh kedua orang tua kita. Betulkan? Cuba kenangkan detik-detik bermain berkejaran, berebut makanan bersama saudara-saudara kita yang kadang-kala disulami cubitan-cubitan kakak-kakak, rasa takut pada abang-abang. Bahagiakan! Cuba kenangkan kembali di zaman persekolahan. Betapa seronoknya dapat kawan ramai di kelas. Bertukar-tukar cerita, buka nota. Kekadang tu tolong kawan tiru dalam peperiksaan. Kadang-kala bergaduh dan pernah juga bertumbuk. Setiap pagi beratur sebelum masuk kelas untuk menyanyikan lagu Negaraku, mengaminkan doa dan mendengar pengumuman. Cuba kenangkan kembali kita bertukar-tukar makanan (bekal dari rumah) pada waktu rehat. Lepak di perpustakaan sekolah selepas tamat waktu persekolahan. Dan, masih Kawe ingat  pada sebelah petang  Kawe akan tunggu ayah di bawah pokok ketapang bersama rakan-rakan yang lain sambil minum ais krim Malaysia (dalam plastik panjang)  yang dibeli dari Warung Pok Mat.

Tidak perlulah Kawe mengenangkan kembali cerita-cerita yang tak mahu diingati. Pastinya kisah-kisah itu amat menyedihkan, memedihkan, bisa meruntunkan hati. Bisanya berdenyut lagi dan luka lama berdarah kembali. Kawe tidak mahu merasakan semuanya lagi. Cukuplah! Tapi untuk pembaca blog ini, Kawe sanggup untuk titpkan satu kisah yang Kawe rasa sangat sedih bagi Kawe pada usia Kawe 12 tahun. Tahun itu adalah tahun terakhir Kawe di sekolah rendah, kerana pada tahun depannya Kawe akan mula belajar di sekolah menengah. Kawe pada tahun sebelumnya iaitu semasa Darjah 5 teah mengambil Peperiksaan Penilaian Darjah 5 (PPDL). Pada peperiksaan itu Kawe telah mendapat keputusan yang amat baik iaitu 5A bersama 25 orang rakan yang lain. Memang dari dulu lagi Kawe bercita-cita untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh. Cita-cita Kawe itu sangat tinggi dan Kawe betul-betul berusaha sehingga mencapai keputusan yang baik. Menjadi kebiasaan surat panggilan ke sekolah berasrama penuh akan dihantar di dalam bulan Disember. Jadi sepanjang bulan tersebut tiap-tiap hari Kawe menunggu posmen untuk menanyakan kalau-kalau ada surat untuk Kawe. Harapan Kawe amat tinggi pada waktu itu. Bila sudah dekat penggal baru sekolah hendak dibuka, Kawe bertambah suspens kerana surat panggilan tak kunjung tiba. Lebih tersentuh bila dapat tahu kawan-kawan yang lain sudah dapat surat tawaran satu persatu. Tinggallah Kawe dan beberapa orang yang senasib yang masih menunggu jawapan. Pada waktu itu seperti tidak ada harapan lagi. Sekolahpun tidak lama lagi akan dibuka. Kawe sering menangis dan bertanyakan apakah salah Kawe. Adakah silap isi borang. Adakah salah alamat. Tapi ayah selalu menasihati Kawe agar berfikir berfikir yang positif. Ayah kata “Takpolah kalu tokleh nok ngaji sekolah asrama tu. Kalu kito oghe panda, sekolah man0-mano pun sama saja. Kalu tokleh hok ni tra (try) lagi masa SRP!”. Tapi, biasalah anak bongsu, anak manja! Nak orang pujuk. Masa ini lah nak ngada-ngada, nak bermanja-manja. Hehehe. Itulah sejarah kenangan pahit Kawe yang pertama kali Kawe rasa dalam hidup ini.

Pada Kawe kenangan itu boleh muncul di mana-mana. Saat kita melihat foto-foto orang tersayang (maaf, tidak termasuk foto porno ya!), ia akan mengingatkan kembali detik-detik suka-duka bersama mereka. Kenangan itu bukan sahaja diimbau melalui foto-foto di album atau di frame atas rak atau di dinding rumah. Malah, kenangan juga boleh diimbau menerusi pakaian, barang-barang yang pernah dihadiahkan seseorang dan juga tempat-tempat yang sering dikunjungi seperti taman, cafe, perpustakaan, makmal komputer. Kawe hanya sekadar memberikan beberapa contoh sahaja.

Walau apapun anggapan kita pada kenangan, sama ada mahu atau tidak, ia akan sentiasa berada di samping kita. Kenagan adalah sebahagian daripada hidup insan. Bagi Kawe, setiap hari Kawe belajar untuk mensyukuri di atas kenangan manis pada masa lalu dan sentiasa belajar menghargainya. Kawe juga sentiasa belajar untuk menerima hakikat yang setiap yang pahit (dan juga yang manis) itu ada hikmah di sebaliknya. Jadikan sebagai peringatan pada hati agar ia tidak akan berlaku lagi. Biar apa pun alasan ia bukan lagi satu dosa. Bagi Kawe, kita harus berfikir, apa yang kita perolehi sekarang adalah lebih bernilai dari kenangan kita pada masa lalu. Betul ke ni?

Ya Tuhan! Minda Kawe telah tepu dengan kenangan-kenangan lalu yang berbaur. Terasakan yang Kawe sedang sesat di jalan-jalan kenangan itu. Tunjukkan Kawe jalan pulang! Bila Kawe terjaga untuk kesekian kalinya telinga Kawe menangkap bait-bait lagu Kenangan Terindah nyanyian Samsons yang terkesan di hati Kawe.

namun takkan mudah bagiku
meninggalkan jejak hidupku
yang telah terukir abadi
sebagai kenangan yang terindah

Salam kenangan dari Kawe

Published in: on November 25, 2007 at 11:35 pm  Comments (15)  

Sesatku di rimba kenangan 1

desktop-bground3.jpgWah! Wah! Wah! Sedap pulak dengar tajuk entri kali ni. Harapan Kawe biarlah isi entri ni sesedap tajuknya. Ah! Lupakan dulu janji Kawe untuk menceritakan perihal diri Kawe pada entri ini. Maaf ya! Kawe rasa perihal diri Kawe tu, biarlah dalam suasana yang lebih ekslusif. Ahaks!

Alarm Clock SONY yang terletak di meja sebelah katil Kawe menunjukkan pukul 12.30 malam semasa Kawe terjaga dari tidur tadi. Agaknya Kawe telah puas tidur kerana Kawe tidur agak awal malam tadi kira-kira pukul 9 malam ditambah dengan tidur di waktu siang tadi (maklumlah hari cuti). Semasa Kawe terjaga tadi, telinga Kawe terdengar lagu ‘Memori’ nyanyian Ruth Sahanaya yang berkumandang di saluran KlasikNasional FM. Ah, Kawe lupa untuk men-sleep-mode-kan radio tu rupanya! Dah lama juga Kawe tak mendengar lagu tu. Melodinya begitu syahdu dan liriknya menyentuh hati Kawe. Ish, teremosi lah pulak! Antara bait-bait lagunya seperti:

Memori kau membuka luka lama

yang kuingin lupa

memori tolong daku pergi jauh

janji takkan kembali…

Pada ketika itu fikiran Kawe telah menerawang jauh menelusuri kembali kenangan dan pengalaman yang lalu. Tapi apa yang Kawe ingin ceritakan di sini bukanlah ada kaitan dengan lirik lagu di atas. Bukannya kisah kecewa seperti itu. Ditinggalkan kekasih jauh sekali. Bila dikutip kembali tidak terhitung banyaknya kenangan yang telah Kawe lalui sepanjang perjalanan hidup selama 32 tahun ini. Kenangan yang pelbagai rasa. Ada pahit dan ada manisnya.  Kalau nak diceritakan kesemua kenangan-kenangan itu rasanya tak muat untuk ditulis di sini, dan bukanlah Kawe nak bercerita secara panjang lebar tentang kenangan Kawe. Cukuplah kiranya Kawe sekadar mengimbas saja kenangan yang telah Kawe pilih untuk diceritakan di sini.

Kawe mulakan dengan kenangan Kawe sewaktu kecil. Kawe merupakan anak bongsu di dalam keluarga. Kawe mempunyai 2 orang abang dan 4 orang kakak. Keluarga kami  serba-serbinya sederhana. Rumah kami tak besar tapi selesa untuk kami sekeluarga. Makan cukup, pakaian ada. Ayah selalu cakap, yang kami bukanlah orang berada. Makan, pakai setakat apa yang kami mampu. Ayahpun bukan makan gaji besar tapi bekerja sendiri. Macam-macam kerja telah ayah buat. Sebelum Kawe lahir Mek (panggilan Kawe kepada ibu) ada  cakap yang ayah pernah bekerja jauh dari rumah, ada sekali tu sampai ke Singapura ayah mencari rezeki bekerja membersih kapal di Keppel Port. (Kawe akan ceritakan tentang ayah dan mek kawe pada entri yang lain). Bila kami adik beradik telah semakin besar, maka semakin besarlah perbelanjaan yang perlu dibayar. Kawe tahu ayah dan mek bekerja keras untuk mendapatkan wang untuk memenuhi keperluan dan kehendak kami. Kawe kagum dengan ayah dan mek. Mereka berusaha bersungguh-sungguh demi memenuhi keperluan kami. Apa yang Kawe minta pasti ayah dapatkan, walaupun kekadang tu mengambil masa yang lama. Walaupun kawe pada waktu tu masih kanak-kanak, tapi kawe faham akan kesusahan kami pada waktu itu. Kawe rasa kasihan pada ayah dan mek. Oleh kerana kawe kasihan, kawe turut sama menolong ayah dan mek bekerja. Pada musim menanam padi kawe menolong ayah dan mek di sawah. Dari menyemai benih padi, memindah anak padi ke petak sawah (cedong, dalam bahasa Kelate) sehingga menuai padi, semuanya Kawe telah buat. Paling seronok pada musim padi masak. Cantik sangat pemandangannya! Warna kuning keemasan, berlatarkan bukit yang hijau nun di hujung kampung. Angin yang berpupuk sesekali bertiup kencang amat menyamankan walaupun pada waktu itu matahari panas memancar. Saat paling indah apabila pokok-pokok padi ditiup angin, seolah-olah Kawe berdiri di tengah-tengah lautan bergelombang berombakkan emas. Kulit Kawe yang pada asalnya putih cerah bertukar warna sawo, dan warnanya melakat sehingga kini. Paling tak seronok pada musim menanam padi kerana ianya jatuh pada musim hujan. Tanah becak, berair dan berselut hingga ke paras paha. Lintah dan pacat jadi teman setia. Pernah Kawe satu hari lintah menggigit telur di ‘barang kemas’ Kawe. Tanpa malu Kawe menjerit sekuat hati, dan ayah datang membuangnya dengan menggunakan tembakau rokoknya. Hasil tuaian padi ayah dibahagi dua, satu bahagian dijual kepda kilang padi dan sebahagian lagi untuk makan sekeluarga yang cukup sehinngga sampai musim menuai tahun hadapan.

Selalunya selepas musim menuai habis, orang kampung akan mula menanam tembakau. Ayah juga menanam tembakau. Oleh kerana ayah tiada tanah sendiri, jadi ayah menggunakan tanah orang lain. Menanam tembakau juga bukanlah satu perkara yang mudah. Tembakau sangat sensitif, baja tidak boleh terlebih, begitu juga dengan airnya. Tembakau tidak suka hujan. Apabila sudah besar iaitu selepas 3 bulan (kalau tak silap) daun tembakau mula boleh dipetik dan dijual kepada pengilang untuk dikeringkan. Pendapatan agak lumayan kerana harga tembakau pada waktu itu agak tinggi juga. Tapi sayang, musimnya agak pendek. Dulu, seingat Kawe, Kelantan merupakan pengeluar tembakau berkualiti tinggi untuk dieksport ke luar negeri. Rupanya, Kawe juga secara tak langsung terlibat dalam pengeluaran komoditi ini.

Semasa Kawe di Darjah 3, Kawe menolong mek menoreh. Pada waktu itu Kawe bersekolah di sesi petang jadi sempatlah Kawe menolong mek di kebun getah di sebelah pagi. Kawe sebenarnya hanya menolong mek memungut dan mengumpul susu getah. Kawe tak pandai menoreh. Mek kata pokok getah habis luka (luka yang macam mana yg dia maksudkan tu, kawe tak tahu!). Jadi, mek tak bagi kasi menoreh. Tak apalah. Lagipun kawe tak suka bangun pagi-pagi dan kena pergi kebun getah pagi-pagi tu. Banyak pacat lah! Nanti kena gigit kat situ lagi. Tak mahu dah. Jadi selalunya, kawe akan pergi mengumpul susu getal dalam pukul 9 pagi. Pergi dari satu pokok ke satu pokok. Oleh kerana kebun tu kecik saja, pukul 10.30 pagi dah habis kumpul susu getah. Masa mengumpul tu ada juga susu terpercik kena rambut dan ada juga yang masuk mulut. Sedap juga rasa susu getah. Rasanya manis dan berlemak! Tak caya pi try la.  Lepas kumpul susu, adalah dapat dalam 2 baldi. Mek jinjig satu, kawe jinjing satu ke tempat membeku dan membuat getah keping. Dah sampai situ, kawe ambil beberapa bekas yang dipanggil takung untuk dimasukkan susu getah tadi. Selalunya 2 baldi susu tu kita boleh dapat 5 keping getah. Untuk bekukan getah, kita perlu bubuh asid hidroklorik. Mek kawe panggil cuka getah je. Part ni, mek tak bagi kawe buat. Dia kata asid tu kuat. Bahaya! Dia takut tumpah kena Kawe. Sayangnya dia pada Kawe. Selepas 20 ke 30 minit susu getah tadi dah beku dan boleh dikeluarkan dari takung dan dilenyek-lenyek guna tangan. Part ni paling Kawe suka. Bila lenyek tu rasa seronok je. Rasa lembik, lembut, kenyal. Bunyik dia clup clap clup clap. Hehehe. Bila dah leper, kita perlu masukkan ke mesin penggelek rata beberapa kali sebelum dimasukkan ke mesin penggelek bunga. Mesin digerakkan dengan tangan. Selalunya kawelah yang pusingkan mesin tu dan mek akan memasuk dan mengawal kepingan getah. Bila dah selesai, getah yang dah siap tadi dijemur di belakang rumah. Lepas itu, Kawe akan cepat-cepat mandi dan bersiap ke sekolah yang bermula pada jam 1.30 tengah hari. Kekadang tu selalu juga cikgu dan kawan sekelas menegur Kawe sebab ada getah kat rambut. Itulah sebahagian memori Kawe menolong ayah dan mek.

Bila Kawe ingatkan kembali kisah tersebut, Kawe dapat mengaitkan dengan kehidupan Kawe pada tahap sekarang ini. Pengalaman itulah yang menjadikan diri Kawe pada hari ini. Ianya banyak mengajar Kawe tentang erti kesusahan dan kesenangan.

Bersambung…

Published in: on November 24, 2007 at 8:29 pm  Comments (8)