Pasca PRU12: Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji..

Kawe pasti bahang PRU12 masih belum reda. Rata-rata masih bercakap tentangnya, bercerita tentangnya. Sebuah cerita yang bukan dongeng, bukan rekaan. Ianya sebuah realiti. Realiti kuasa rakyat. Rakyat telah menentukannya. Rakyat telah menentukan apa yang dimahukan mereka. Semua telah tahu, penentuan yang dimahukan oleh rakyat itu maha mengejutkan! Ia bagaikan gelombang yang membadai. Bisa mengejutkan insan yang selama ini terlena. Berilah apa saja alasan, bagi Kawe kepeutusan itu mencerminkan bahawa rakyat mahukan perubahan dan kesedaran pemerintah akan keperluan  dan kemahuan mereka.

Adat berlawan di gelenggang pasti ada yang menang, ada yang tewas. Bagi yang berjaya dipilih menjadi wakil rakyat anggaplah kemenangan itu hanya detik permulaan kepada mereka untuk berusaha menunaikan janji-janji manis yang ditaburkan semasa berkempen. Amanah dan tanggungjawab yang besar tersebut harus dipikul dan dilaksanakan sebaik-baiknya dan perlu dibuktikan kepada para pengundi. Kegagalan berbuat demikian bermakna nhukuman menanti dihujung penggal. Rakyat akan menuntut apa yag dijanjikan. Bahkan, tiada alasan untuk mereka melarikan diri dari segala tanggungjawab itu. Mereka telah berjanji dan mereka mesti menepatinya.

Published in: on Mac 11, 2008 at 12:23 am  Comments (4)  

Keputusan Plihanraya Umum ke-12 (PRU12) – Malaysia Decides!

Jam sekarang dah menunjukkan jam 4.43 minit pagi, 9 Mac 2008. Kawe masih lagi tidak dapat melalapkan mata. Sepanjang malam tadi, Kawe menghabiskan masa dengan mengikuti perkembangan dan keputusan Pilihanraya Umum ke-12 yang dikatakan telah mencipta sejarah baru arena politik Malaysia.

Tsunami Politik, itulah ungkapan yang boleh disifatkan bagi keputusan PRU kali ini. Sedari jam 7.30 malam, Kawe sudah terpacak di depan TV menonton rancangan khas keputusan PRU12 di saluran RTM1. Dari keputusan  PRU edisi ke-12 ini merupakan rekod keputusan terburuk BN semenjak Pilihanraya 1956. Pada pilihanraya kali ini kita dapati banyak berita yang mengejutkan berlaku. Di antara berita yang sangat mengejutkan adalah kekalahan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, DS Sharizat Jalil yang kalah ditangan pendatang baru, puteri reformasi Nurul Izzah Anwar di parlimen Lembah Pantai. Ianya agak mengejutkan kerana tidak seorangpun menyangka DS Sharizat akan kalah, setelah apa yang telah beliau laksanakan di Lembah Pantai selama 3 penggal berkuasa di situ. Agak mengejutkan juga apabila Menteri Penerangan, DS Zainuddin Maidin juga kalah di Parlimen Sungai Petani. Begitu juga dengan kekalahan DS S. Samy Vellu di Parlimen Sunga Siput pada hari jadinya.

Agak malang untuk parti komponen kedua terbesar BN iaitu MCA yang mana pada kali ini MCA mengalami kekalahan yang besar di kebanyakan kerusi parlimen dan negeri yang dipertandingkan. MCA hanya menang 15 kerusi daripada 40 kerusi yang dicalonkan dan kehilangan banyak kerusi DUN daripada 90 kerusi DUN yang dipertandingkan. MCA mengalami kekalahan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan, P. Pinang dan N. Sembilan.

PRU12 ini juga menjadi sejarah hitam bagi MIC apabila Presiden, Timbalan Presiden, 2 orang Naib Presidennya telah kalah di parlimen masing-masing. Jika sebelum ini pada PRU11, MIC berjaya  memenangi 100% kerusi yang dicalonkan, tetapi pada PRU12 ini MIC hanya memenangi 3 kerusi parlimennya.

Satu lagi parti komponen BN yang menerima tamparan hebat ialah Gerakan, yang sebelum ini cukup gagah bertapak di P. Pinang. Tetapi, pada edisi kali ini, parti Gerakan tewas hanpir di kesemua kerusi Parlimen dan DUN yang dipertandingkan. Daripada 12 kerusi Parlimen, Gerakan hanya memenangi kerusi Parlimen Gerik dan Simpang Renggam. selain dari memenangi hanya 5 kerusi DUN. Malang bagi Pemangku Presiden Gerakan, DS Koh Tsu Koon apabila beliau kalah di Batu Kawan.

Pada PRU12, dapat dilihat akan kebangkitan parti-parti pembangkang seperti PKR, PAS dan DAP. Sehingga pukul 4 pagi tadi, parti-parti pembangkang telah memenangi masing-masing 31 kerusi parlimen untuk PKR, 28 kerusi untuk DAP dan 23 kerusi untuk PAS. Walaupun BN mendahului dengan memenangi 137  kerusi parlimen dan berjaya membentuk kerajaan, tetapi BN  gagal memperoleh majoriti mudah 2/3.  BN memerlukan 148 kerusi parlimen untuk mendapat majoriti 2/3. Untuk rekod, ini merupakan kali pertama BN gagal mendapat majoriti tersebut. Jika dilihat kepada angka-angka tersebut jelas sekali ternyata terdapat pengurangan kerusi parlimen yang dimenangi oleh BN dan peningkatan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti pembangkang. Ternyata di sini dapat dilihat akan kebangkitan pembangkang. Walaupun BN berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan, tetapi terdapat anjakan atau perubahan di peringkat Kerajaan Negeri di mana parti-parti pembangkang telah berjaya menawan dan menguasai di empat negeri iaitu P. Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Tidak terkecuali, parti pembangkang PAS berjaya mengekalkan penguasaan ke atas Kelantan. Jika dilihat sebelum ini keempat-empat negeri yang berjaya ditawan tersbeut merupakan kubu kuat BN. Seperti yang diramalkan negeri Johor memberi peratusan kemenangan kepada BN dengan membolot hampir kesemua kerusi parlimen dan negeri.

Trend pemilihan oleh pengundi adalah pelbagai. Dapat dilihat di sini, trend pemilihan pengundi dari etnik Cina dan India pada kali ini cenderung untuk memangkah parti pembangkang. Begitu juga bagi penduduk di bandar-bandar besar adalh mempunyai kecendurungan yang sama, iaitu memilih parti lawan sebagai wakil suara mereka di dewan rakyat atau di dewan negeri. Pada beberapa tempat, pemilih lebih suka untuk mengundi calon daripada mengundi untuk parti. Kita juga mendapati jumlah majoriti yang dimenangi oleh pihak BN rata-rataya adalah kurang atau tipis dengan perbezaan undi dalam unit ratusan sahaja.

Apa yang boleh Kawe katakan, pada PRU12 ini warga Malaysia telah mula menggunakan hak bersuara ini dengan memberikan keputusan yang dikira dapat mengubah apa yang berlaku sekarang ini. Isu-isu berkaitan kenaikan harga barang keperluan, kenaikan tol, minyak,  peningkatan jenayah, isu berkaitan perkauman dan hak etnik dan beberapa isu lain telah membuatkan mereka begitu menginginkan kepada angin perubahan. Senario ini mrupakan wake-up call bagi semua parti-parti politik. Semoga selepas ini masing-masing (tak kiralah dari parti manapun) dapat mengubah, memperbetulkan dan meningkatkan diri demi kebaikan dan kejayaan bersama. Laksanakanlah tanggungjawab yang diamanahkan dengan sewajarnya dan bukan untuk kepentingan diri sendiri semata.

Keputusan rasmi PRU-12 boleh didapati dilink seperti di bawah:

http://pru12.spr.gov.my/spr/laporan/5_KeputusanKeseluruhan.php

http://www.bharian.com.my/klikkhas/pilihanraya/index_html

http://thestar.com.my/election/maps/

 

 

 

 

 

Published in: on Mac 9, 2008 at 6:38 am  Comments (16)