Sesatku di rimba kenangan 2

memories1.jpg

Di dalam pengembaraan menelusuri jalan-jalan kenangan itu, satu demi satu Kawe menyelak lembaran-lembaran lama yang Kawe rasa sudah agak lama tidak dirungkai. Aduhai! Alangkah indahnya hidupku ini. Kisah manis dan pahit begitu erat terjalin dan sebati dengan setiap langkah yang dilalui. Pada setiap langkah diinjak ada cerita yang tercitra. Antara nafas yang dihirup dihembus terselit ceria tawa dan antara degup jantung dan denyut nadi bertingkah ada kalanya hati berlagu hiba. Begitu hidup kita. Setiap apa yang berlaku akan lahirlah kenangan. Selagi nyawa dikandung badan. Begitulah! Entah mengapa di saat ini Kawe cukup berani menjejaki kembali kisah-kisah lalu yang sekian lama Kawe tidak lawati.

Bercerita tentang kenangan ni, seperti yang kita maklum sebenarnya kita bercerita tentang kisah-kisah lalu. Tidak kiralah apa kesudahannya, sama ada ceria atau sebaliknya. Kalau bahagia kesudahannya, pasti kita akan mengenangkannya dengan rasa gembira dan vice-versa. Tapi, mengapa perlu ada kenangan? Sememangnya kita  mempunyai  ingatan di benak fikiran kita. Justeru, selagi  hayat masih ada,  selagi itulah kita akan punya kenangan. Kenangan yang kuat pada hati kita biasanya kenangan dari kisah yang memberi impak pada hidup kita.  Apa saja yang membuat hati kita manis atau terluka, pasti sukar untuk kita melupainya. Biar kita terus mencuba!

Tika mengimbau kisah-kisah silam ini, entah mengapa Kawe merasakan ada kenangan yang perlu Kawe kembalikan untuk dinikmati lagi pada hari ini. Ada juga kenangan yang Kawe mahu lupakan terus, semadikan dalam-dalam di lubuk hati  agar tidak terkuak lagi untuk diingati kembali. Dan yang selebihnya Kawe letak di tengah-tengah, agar mudah untuk Kawe lawati kembali bila perlu, bila-bila masa.

Kisah-kisah yang ingin Kawe kembalikan pada saat ini pastilah kisah-kisah yang membahagiakan. Pastinya kenangan bersama keluarga menduduki carta teratas. Alangkah manis pada saat dimanja, dibelai, diusap, didokong, dibimbing, disuap dan bermacam-macam lagi yang diperlakukan oleh kedua orang tua kita. Betulkan? Cuba kenangkan detik-detik bermain berkejaran, berebut makanan bersama saudara-saudara kita yang kadang-kala disulami cubitan-cubitan kakak-kakak, rasa takut pada abang-abang. Bahagiakan! Cuba kenangkan kembali di zaman persekolahan. Betapa seronoknya dapat kawan ramai di kelas. Bertukar-tukar cerita, buka nota. Kekadang tu tolong kawan tiru dalam peperiksaan. Kadang-kala bergaduh dan pernah juga bertumbuk. Setiap pagi beratur sebelum masuk kelas untuk menyanyikan lagu Negaraku, mengaminkan doa dan mendengar pengumuman. Cuba kenangkan kembali kita bertukar-tukar makanan (bekal dari rumah) pada waktu rehat. Lepak di perpustakaan sekolah selepas tamat waktu persekolahan. Dan, masih Kawe ingat  pada sebelah petang  Kawe akan tunggu ayah di bawah pokok ketapang bersama rakan-rakan yang lain sambil minum ais krim Malaysia (dalam plastik panjang)  yang dibeli dari Warung Pok Mat.

Tidak perlulah Kawe mengenangkan kembali cerita-cerita yang tak mahu diingati. Pastinya kisah-kisah itu amat menyedihkan, memedihkan, bisa meruntunkan hati. Bisanya berdenyut lagi dan luka lama berdarah kembali. Kawe tidak mahu merasakan semuanya lagi. Cukuplah! Tapi untuk pembaca blog ini, Kawe sanggup untuk titpkan satu kisah yang Kawe rasa sangat sedih bagi Kawe pada usia Kawe 12 tahun. Tahun itu adalah tahun terakhir Kawe di sekolah rendah, kerana pada tahun depannya Kawe akan mula belajar di sekolah menengah. Kawe pada tahun sebelumnya iaitu semasa Darjah 5 teah mengambil Peperiksaan Penilaian Darjah 5 (PPDL). Pada peperiksaan itu Kawe telah mendapat keputusan yang amat baik iaitu 5A bersama 25 orang rakan yang lain. Memang dari dulu lagi Kawe bercita-cita untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh. Cita-cita Kawe itu sangat tinggi dan Kawe betul-betul berusaha sehingga mencapai keputusan yang baik. Menjadi kebiasaan surat panggilan ke sekolah berasrama penuh akan dihantar di dalam bulan Disember. Jadi sepanjang bulan tersebut tiap-tiap hari Kawe menunggu posmen untuk menanyakan kalau-kalau ada surat untuk Kawe. Harapan Kawe amat tinggi pada waktu itu. Bila sudah dekat penggal baru sekolah hendak dibuka, Kawe bertambah suspens kerana surat panggilan tak kunjung tiba. Lebih tersentuh bila dapat tahu kawan-kawan yang lain sudah dapat surat tawaran satu persatu. Tinggallah Kawe dan beberapa orang yang senasib yang masih menunggu jawapan. Pada waktu itu seperti tidak ada harapan lagi. Sekolahpun tidak lama lagi akan dibuka. Kawe sering menangis dan bertanyakan apakah salah Kawe. Adakah silap isi borang. Adakah salah alamat. Tapi ayah selalu menasihati Kawe agar berfikir berfikir yang positif. Ayah kata “Takpolah kalu tokleh nok ngaji sekolah asrama tu. Kalu kito oghe panda, sekolah man0-mano pun sama saja. Kalu tokleh hok ni tra (try) lagi masa SRP!”. Tapi, biasalah anak bongsu, anak manja! Nak orang pujuk. Masa ini lah nak ngada-ngada, nak bermanja-manja. Hehehe. Itulah sejarah kenangan pahit Kawe yang pertama kali Kawe rasa dalam hidup ini.

Pada Kawe kenangan itu boleh muncul di mana-mana. Saat kita melihat foto-foto orang tersayang (maaf, tidak termasuk foto porno ya!), ia akan mengingatkan kembali detik-detik suka-duka bersama mereka. Kenangan itu bukan sahaja diimbau melalui foto-foto di album atau di frame atas rak atau di dinding rumah. Malah, kenangan juga boleh diimbau menerusi pakaian, barang-barang yang pernah dihadiahkan seseorang dan juga tempat-tempat yang sering dikunjungi seperti taman, cafe, perpustakaan, makmal komputer. Kawe hanya sekadar memberikan beberapa contoh sahaja.

Walau apapun anggapan kita pada kenangan, sama ada mahu atau tidak, ia akan sentiasa berada di samping kita. Kenagan adalah sebahagian daripada hidup insan. Bagi Kawe, setiap hari Kawe belajar untuk mensyukuri di atas kenangan manis pada masa lalu dan sentiasa belajar menghargainya. Kawe juga sentiasa belajar untuk menerima hakikat yang setiap yang pahit (dan juga yang manis) itu ada hikmah di sebaliknya. Jadikan sebagai peringatan pada hati agar ia tidak akan berlaku lagi. Biar apa pun alasan ia bukan lagi satu dosa. Bagi Kawe, kita harus berfikir, apa yang kita perolehi sekarang adalah lebih bernilai dari kenangan kita pada masa lalu. Betul ke ni?

Ya Tuhan! Minda Kawe telah tepu dengan kenangan-kenangan lalu yang berbaur. Terasakan yang Kawe sedang sesat di jalan-jalan kenangan itu. Tunjukkan Kawe jalan pulang! Bila Kawe terjaga untuk kesekian kalinya telinga Kawe menangkap bait-bait lagu Kenangan Terindah nyanyian Samsons yang terkesan di hati Kawe.

namun takkan mudah bagiku
meninggalkan jejak hidupku
yang telah terukir abadi
sebagai kenangan yang terindah

Salam kenangan dari Kawe

Published in: on November 25, 2007 at 11:35 pm  Comments (15)  

Sesatku di rimba kenangan 1

desktop-bground3.jpgWah! Wah! Wah! Sedap pulak dengar tajuk entri kali ni. Harapan Kawe biarlah isi entri ni sesedap tajuknya. Ah! Lupakan dulu janji Kawe untuk menceritakan perihal diri Kawe pada entri ini. Maaf ya! Kawe rasa perihal diri Kawe tu, biarlah dalam suasana yang lebih ekslusif. Ahaks!

Alarm Clock SONY yang terletak di meja sebelah katil Kawe menunjukkan pukul 12.30 malam semasa Kawe terjaga dari tidur tadi. Agaknya Kawe telah puas tidur kerana Kawe tidur agak awal malam tadi kira-kira pukul 9 malam ditambah dengan tidur di waktu siang tadi (maklumlah hari cuti). Semasa Kawe terjaga tadi, telinga Kawe terdengar lagu ‘Memori’ nyanyian Ruth Sahanaya yang berkumandang di saluran KlasikNasional FM. Ah, Kawe lupa untuk men-sleep-mode-kan radio tu rupanya! Dah lama juga Kawe tak mendengar lagu tu. Melodinya begitu syahdu dan liriknya menyentuh hati Kawe. Ish, teremosi lah pulak! Antara bait-bait lagunya seperti:

Memori kau membuka luka lama

yang kuingin lupa

memori tolong daku pergi jauh

janji takkan kembali…

Pada ketika itu fikiran Kawe telah menerawang jauh menelusuri kembali kenangan dan pengalaman yang lalu. Tapi apa yang Kawe ingin ceritakan di sini bukanlah ada kaitan dengan lirik lagu di atas. Bukannya kisah kecewa seperti itu. Ditinggalkan kekasih jauh sekali. Bila dikutip kembali tidak terhitung banyaknya kenangan yang telah Kawe lalui sepanjang perjalanan hidup selama 32 tahun ini. Kenangan yang pelbagai rasa. Ada pahit dan ada manisnya.  Kalau nak diceritakan kesemua kenangan-kenangan itu rasanya tak muat untuk ditulis di sini, dan bukanlah Kawe nak bercerita secara panjang lebar tentang kenangan Kawe. Cukuplah kiranya Kawe sekadar mengimbas saja kenangan yang telah Kawe pilih untuk diceritakan di sini.

Kawe mulakan dengan kenangan Kawe sewaktu kecil. Kawe merupakan anak bongsu di dalam keluarga. Kawe mempunyai 2 orang abang dan 4 orang kakak. Keluarga kami  serba-serbinya sederhana. Rumah kami tak besar tapi selesa untuk kami sekeluarga. Makan cukup, pakaian ada. Ayah selalu cakap, yang kami bukanlah orang berada. Makan, pakai setakat apa yang kami mampu. Ayahpun bukan makan gaji besar tapi bekerja sendiri. Macam-macam kerja telah ayah buat. Sebelum Kawe lahir Mek (panggilan Kawe kepada ibu) ada  cakap yang ayah pernah bekerja jauh dari rumah, ada sekali tu sampai ke Singapura ayah mencari rezeki bekerja membersih kapal di Keppel Port. (Kawe akan ceritakan tentang ayah dan mek kawe pada entri yang lain). Bila kami adik beradik telah semakin besar, maka semakin besarlah perbelanjaan yang perlu dibayar. Kawe tahu ayah dan mek bekerja keras untuk mendapatkan wang untuk memenuhi keperluan dan kehendak kami. Kawe kagum dengan ayah dan mek. Mereka berusaha bersungguh-sungguh demi memenuhi keperluan kami. Apa yang Kawe minta pasti ayah dapatkan, walaupun kekadang tu mengambil masa yang lama. Walaupun kawe pada waktu tu masih kanak-kanak, tapi kawe faham akan kesusahan kami pada waktu itu. Kawe rasa kasihan pada ayah dan mek. Oleh kerana kawe kasihan, kawe turut sama menolong ayah dan mek bekerja. Pada musim menanam padi kawe menolong ayah dan mek di sawah. Dari menyemai benih padi, memindah anak padi ke petak sawah (cedong, dalam bahasa Kelate) sehingga menuai padi, semuanya Kawe telah buat. Paling seronok pada musim padi masak. Cantik sangat pemandangannya! Warna kuning keemasan, berlatarkan bukit yang hijau nun di hujung kampung. Angin yang berpupuk sesekali bertiup kencang amat menyamankan walaupun pada waktu itu matahari panas memancar. Saat paling indah apabila pokok-pokok padi ditiup angin, seolah-olah Kawe berdiri di tengah-tengah lautan bergelombang berombakkan emas. Kulit Kawe yang pada asalnya putih cerah bertukar warna sawo, dan warnanya melakat sehingga kini. Paling tak seronok pada musim menanam padi kerana ianya jatuh pada musim hujan. Tanah becak, berair dan berselut hingga ke paras paha. Lintah dan pacat jadi teman setia. Pernah Kawe satu hari lintah menggigit telur di ‘barang kemas’ Kawe. Tanpa malu Kawe menjerit sekuat hati, dan ayah datang membuangnya dengan menggunakan tembakau rokoknya. Hasil tuaian padi ayah dibahagi dua, satu bahagian dijual kepda kilang padi dan sebahagian lagi untuk makan sekeluarga yang cukup sehinngga sampai musim menuai tahun hadapan.

Selalunya selepas musim menuai habis, orang kampung akan mula menanam tembakau. Ayah juga menanam tembakau. Oleh kerana ayah tiada tanah sendiri, jadi ayah menggunakan tanah orang lain. Menanam tembakau juga bukanlah satu perkara yang mudah. Tembakau sangat sensitif, baja tidak boleh terlebih, begitu juga dengan airnya. Tembakau tidak suka hujan. Apabila sudah besar iaitu selepas 3 bulan (kalau tak silap) daun tembakau mula boleh dipetik dan dijual kepada pengilang untuk dikeringkan. Pendapatan agak lumayan kerana harga tembakau pada waktu itu agak tinggi juga. Tapi sayang, musimnya agak pendek. Dulu, seingat Kawe, Kelantan merupakan pengeluar tembakau berkualiti tinggi untuk dieksport ke luar negeri. Rupanya, Kawe juga secara tak langsung terlibat dalam pengeluaran komoditi ini.

Semasa Kawe di Darjah 3, Kawe menolong mek menoreh. Pada waktu itu Kawe bersekolah di sesi petang jadi sempatlah Kawe menolong mek di kebun getah di sebelah pagi. Kawe sebenarnya hanya menolong mek memungut dan mengumpul susu getah. Kawe tak pandai menoreh. Mek kata pokok getah habis luka (luka yang macam mana yg dia maksudkan tu, kawe tak tahu!). Jadi, mek tak bagi kasi menoreh. Tak apalah. Lagipun kawe tak suka bangun pagi-pagi dan kena pergi kebun getah pagi-pagi tu. Banyak pacat lah! Nanti kena gigit kat situ lagi. Tak mahu dah. Jadi selalunya, kawe akan pergi mengumpul susu getal dalam pukul 9 pagi. Pergi dari satu pokok ke satu pokok. Oleh kerana kebun tu kecik saja, pukul 10.30 pagi dah habis kumpul susu getah. Masa mengumpul tu ada juga susu terpercik kena rambut dan ada juga yang masuk mulut. Sedap juga rasa susu getah. Rasanya manis dan berlemak! Tak caya pi try la.  Lepas kumpul susu, adalah dapat dalam 2 baldi. Mek jinjig satu, kawe jinjing satu ke tempat membeku dan membuat getah keping. Dah sampai situ, kawe ambil beberapa bekas yang dipanggil takung untuk dimasukkan susu getah tadi. Selalunya 2 baldi susu tu kita boleh dapat 5 keping getah. Untuk bekukan getah, kita perlu bubuh asid hidroklorik. Mek kawe panggil cuka getah je. Part ni, mek tak bagi kawe buat. Dia kata asid tu kuat. Bahaya! Dia takut tumpah kena Kawe. Sayangnya dia pada Kawe. Selepas 20 ke 30 minit susu getah tadi dah beku dan boleh dikeluarkan dari takung dan dilenyek-lenyek guna tangan. Part ni paling Kawe suka. Bila lenyek tu rasa seronok je. Rasa lembik, lembut, kenyal. Bunyik dia clup clap clup clap. Hehehe. Bila dah leper, kita perlu masukkan ke mesin penggelek rata beberapa kali sebelum dimasukkan ke mesin penggelek bunga. Mesin digerakkan dengan tangan. Selalunya kawelah yang pusingkan mesin tu dan mek akan memasuk dan mengawal kepingan getah. Bila dah selesai, getah yang dah siap tadi dijemur di belakang rumah. Lepas itu, Kawe akan cepat-cepat mandi dan bersiap ke sekolah yang bermula pada jam 1.30 tengah hari. Kekadang tu selalu juga cikgu dan kawan sekelas menegur Kawe sebab ada getah kat rambut. Itulah sebahagian memori Kawe menolong ayah dan mek.

Bila Kawe ingatkan kembali kisah tersebut, Kawe dapat mengaitkan dengan kehidupan Kawe pada tahap sekarang ini. Pengalaman itulah yang menjadikan diri Kawe pada hari ini. Ianya banyak mengajar Kawe tentang erti kesusahan dan kesenangan.

Bersambung…

Published in: on November 24, 2007 at 8:29 pm  Comments (8)  

What a Surprise! Thank you everyone!

fastres-growing-2.jpg

Alhamdulillah. Tanpa disangka blog Kawe yang tak seberapa ni ramai juga yang sudi singgah di sini. Kawe anggap ni sebagai rekod peribadi Kawe, kerana tak sampai 24 jam selepas blog Kawe ni di’launch’ jumlah hits sudah melepasi 100 hits. Kawe memang tahulah bagaimana cara diaorang kira jumlah hits tu. Tapi bagi Kawe, ia bermakna ramailah jugak yang sudi menjengah ke sini. Blog baru memanglah akan ada orang akan terjah masuk untuk sekadar ingin tahu apa yang ada di blog baru tu. Hehehe. Whatever it is, Kawe gumbira dan menghargai lawatan anda ke sini. Ianya memberi semangat dan motivasi yang tinggi kepada Kawe untuk terus menulis di blog ini.

Seperti yang Kawe cakaplah dalam entri pertama Kawe tu, yang Kawe tak berapa yakin yang orang akan datang ke blog Kawe ni. Dan Kawe juga rasa terlalu awal untuk mengatakan yang akan ramai lagi yang akan datang ke sini. Apa-apa pun Kawe akan mencuba. Kalau tak mencuba sampai bila-bila kita tidak akan tahu hasilnya. Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Insya Allah, Kawe akan sentiasa mengemaskini blog ini sekerap yang mungkin. Harap-harap tak menjadi seperti hangat-hangat taik orang ayam saja. Kawe pun sekarang ni kalau pergi ke mana-mana mesti bawa bersama buku nota kecil dan pen. Bukan apa, nanti bila dah idea yang datang tu bolehlah nanti Kawe catatkan di dalam buku nota tu. Sekarang ni pun dah banyak juga idea yang datang, tapi masih dalam bentuk tajuk. Contentnya entah ke mananya lagi. Bagi Kawe bila dah ada tajuk, kira agak senanglah bila time nak menggoreng nanti. Yang pentingnya kenalah ada bahan-bahan asasanya dulu. Tak gitu?

blogstats1.jpgUntuk fasa permulaan ni, biarlah Kawe menceritakan perihal benda-benda yang dekat sekeliling Kawe dululah ya. Yelah manalah tahu, kot2 ada yang nak kenal lebih dekat lagi Kawe ni sapa, asal mana, hobi apa, apa kegemaran Kawe. Alah macam sesi ice-breaking gitu. Tapi kenalah tunggu next entry lah ya. Sekarang ni dah malam dah ni, Kawe dah mengantu. Next entry tu pun tak lama lagi keluar la. Tunggguuu.

Untuk ke sekian kalinya, Kawe nak ucap terima kasih banyak2 pada semua yang sudi datang dan baca blog Kawe ni. Kawe juga ingin ucapkan terima kasih pada Joe, Deo, Zuriaf dan BuzzyBug kerana sudi menghantar komen yang Kawe kira amat bermakna kepada Kawe dalam memberi semangat kepada Kawe untuk terus berblog. Sebelum Kawe berundur diri untuk sementara waktu ini, di sini Kawe titipkan serangkap pantun tanda penghargaan kepada anda semua.

Bila memandang ke muka laut

Terlihat sampan mudik ke hulu

Bila terkenang mulut menyebut

Budi yang baik ingat selalu

Salam budi,

Kawejauh

 

 

Published in: on November 22, 2007 at 5:56 pm  Comments (6)  

Salam Pengenalan

Assalaamualaikum dan salam sejahtera! (Ada ke org yg membaca ni??) Salam pengenalan, salam permulaan. Wah, akhirnya kawe berjaya juga mengadakan (bukan mengada-ngada, ye!) 🙂 blog ini. Sebelum ini kawe cuma suka baca blog teman-teman dan blog sesapa sahaja yang kawe terjumpa di Internet. Suka melompat sana melompat sini. Kawe pun tak terfikir sebenarnya untuk menulis blog sendiri. Bukannya apa. Kawe rasa tak ada apa yang perlu dikongsikan bersama orang lain, lebih-lebih lagi cerita perihal peribadi kawe. (Sempit sangat pemikiran kawe tentang blog pada masa tu!). Rupanya, baru lah kawe sedar yang menulis blog ni luas skopnya, bukan sahaja berkisar kepada perihal peribadi penulis itu, tetapi mencakupi pelbagai ruang atau perkara berdasarkan kemahuan, pengetahuan dan pengalaman penulis itu sendiri.

Sebenarnya, Kawe ni bukan pandai sangatpun dalam bab penulisan ni. Dulu adalah juga Kawe mengambil kursus Penulisan Kreatif, tapi ilmu itu telah terhakis, kian menipis saban tahun kerana tidak dibersih dan digilap semahunya, dalam erti kata lain, ianya tidak dipraktis. Ilmu pengetahuan sekiranya tidak diamal, lama kelamaan ianya akan hilang. Heheheh. Cakap pandai la.

Mungkin anda nak tahu bagaimana, Kawe boleh terbuka hati untuk menulis blog ni. Untuk pengetahuan semua, Kawe ni kalau nak dikira sebagai pembaca blog bolehlah agaknya. Banyak jugalah blog yang Kawe singgah dan melangut di situ menghabiskan masa terluang Kawe. Dan, ada juga di antara blog-blog tersebut menjadi blog kegemaran Kawe. Salah satunya adalah Blog HE .Itu sudah pasti. Dia adalah sahabat Kawe yang dikenali semasa di Universiti. Kawe cukup tertarik dengan blognya. Sehingga kawe tidak sabar-sabar menunggu tulisan terkininya. Kawe kagum dengan dia, sebab blognya tidak hanya berkisar kepada diari seharian tetapi mencakupi pelbagai konteks kehidupan kita. Kawe juga baru-baru ini ada terbaca sebuah lagi blog yang cukup memberi kesan kepada Kawe. Banyak perkara yang Kawe dapat belajar dari blog tersebut tentang menjalani kehidupan kita dalam mencari sesuap nasi. Blog tersebut cukup menyentuh hati Kawe. Gaya penulisan dia cukup menarik dan ada kelas tersendiri. Setiap kisah diceritakan dengan penuh beremosi. Kalau tak percaya anda boleh pergi ke Blog Joe Perantau .

Bila dah ada blog ni, terfikir juga di dalam benak Kawe ni pelbagai soalan la pulak. Apa yang nak ditulis? Ada ke orang yang membaca nanti? Karang orang kata perasan la pulak! Kat Joeperantau, dia tak kisah ada orang baca ke tak, sebab dia tulis apa yang ada dalam kepala dia. Heheh. Joe tak pa, sebab die fofuler. Heheh. Tidak mengapalah, nanti malam ni Kawe fikir apa yang sesuai untuk ditulis di sini. Nanti adalah idea tu.

Ok ke tak entry pertama Kawe ni? Harap pembaca dapat memberi cadangan dan komen ya. Sehingga bertemu lagi. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Published in: on November 21, 2007 at 8:33 am  Comments (8)